Tok Ram Diserang Vertigo Ketika Dalam Perjalanan Ke Singapura
Pemuzik terkenal, Datuk Ramli MS dilaporkan telah diserang vertigo ketika dalam perjalanan ke negara kelahirannya, Singapura baru-baru ini.
Maklumat berkenaan kesihatan individu yang mesra dipanggil Tok Ram ini dikongsikan oleh isterinya, Datin Alyah pada hari ini.
Menerusi hantaran Instagram (@alyah81), penyanyi wanita itu telah menceritakan keadaan suaminya ketika berada di Singapura.
Penyanyi tersebut memaklumkan bahawa Tok Ram pada awalnya mengadu bahawa kepalanya mula berasa pening ketika berada di perhentian bas Larkin, Johor Bahru, Johor.
Difahamkan, bekas Pengetua Akademi Fantasia musim kedua itu merancang untuk pulang ke Singapura atas beberapa urusan.
Antaranya untuk melawat ibunya yang masih menetap di Singapura serta menyambut ulang tahun kelahiran Datin Alyah.
Namun, ketika berada di Tuas Check Point, kereta milik Alyah tidak dibenarkan masuk kerana perlu memperbaharui permit kenderaan untuk tahun 2024.
Oleh sebab itu, mereka perlu berpatah balik ke Larkin untuk memperbaharui permit kenderaan untuk tahun tersebut.
“Setibanya di perhentian bas Larkin, Tok Ram diserang vertigo dan mengadu kepala sudah berpusing (pening),” tulisnya dalam Instagram.
Sebaik sahaja memasuki sempadan Singapura, Tok Ram meminta untuk dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan dengan segera.
“Selepas melepasi Woodland Check Point, Tok Ram minta hantar ke hospital dan lakukan pemeriksaan dari pukul 3 pagi hingga 6 pagi.
“Keesokannya, saya dan Tok Ram ke Pusat Perubatan Mounth Elizabeth untuk pemeriksaan lebih lanjut mengenai masalah vertigonya yang semakin kerap menyerang.
Dalam hantaran tersebut, Tok Ram juga dilihat duduk di atas kerusi roda ketika melakukan pemeriksaan kesihatan di sana.
Susulan itu, Datin Alyah memohon maaf kerana tidak dapat menjawab semua panggilan dan membalas ucapan ketika hari lahirnya.
Katanya lagi, pada hari jadinya, beliau sedang sibuk mengurus dan menemani Tok Ram melakukan pemeriksaan kesihatan serta beberapa urusan lain.
Datin Alyah seterusnya turut meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan Tok Ram agar segera baik.
Keadaan Tok Ram semakin pulih dan beliau sempat bertemu ahli keluarganya di Singapura
Pelantun suara Sesal Separuh Nyawa itu berkata, beliau menzahirkan rasa bersyukur kerana keadaan suaminya semakin pulih.
Bukan itu sahaja, beliau dapat melihat kegembiraan Tok Ram untuk kembali ke kampung halamannya dan berkumpul bersama keluarganya di Singapura.
Jelasnya, sejak bermulanya program Gegar Vaganza baru-baru ini, Tok Ram juga sudah lama tidak menziarah keluarganya di Singapura.
“Selepas pemeriksaan kesihatan, dia sempat bertemu dengan adik-adiknya. Ketika itu dia rasa mungkin sudah okay.
“Dia pun gembira dapat jumpa keluarga sebab sudah lama tak balik Singapura.”
BACA: Budak 13 Tahun Jadi Manusia Pertama Tamatkan “Game” Tetris
Sumber: alyah81 via Instagram