
Disengat Tebuan Ketika Naik Motor, Lelaki Alami Kesan Sepantas 30 Minit
Apabila memandu kereta atau menunggang motosikal di jalan raya, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan. Walaupun sudah bawa kenderaan terbabit dengan berhati-hati dan mematuhi undang-undang, kadang kala ada kejadian tidak terduga berlaku.
Boleh jadi dilanggar oleh kenderaan lain, terpaksa berhadapan dengan cuaca buruk dan diserang serangga atau binatang. Ia merupakan sesuatu yang tidak terjangka dan di luar kawalan kita.
Seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Adnin Razak, yang telah disengat tebuan ketika menunggang motosikal. Siapa sangka kesan dari sengatan tebuan itu bertindak balas hanya dalam beberapa minit sahaja.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, ikuti perkongsian Adnin di bawah ini.
SEMALAM saya diserang tebuan ketika atas motor dari Rasa ke Bukit Sentosa, melalui jalan kosong yang kiri kanannya semak liar.
Tiba-tiba dada kanan pedih. Terasa ‘meletup’. Ni tak lain tak bukan, confirm kena sengat serangga terbang.
Sampai tempat dituju, badan mula terasa gatal, diikuti muka merah sana sini dan paling sakit, muka terasa berdenyut membengkak-bengkak serta berpeluh.
Saya sesak nafas, athma pun triggered. Mula-mula ingat nak bertahan. Sebelum ni pernah kena sengat lebah. Tapi tak seteruk ni. Masa tu saya syak ni bukan lebah, tapi tebuan.
Terus ke klinik. Doktor bagi suntikan kat punggung untuk anti alahan, kemudian rawatan neb untuk stabilkan pernafasan. Saya semput masa ni.
Lebih kurang 20 minit, neb dah selesai, nafas saya stabil. Tapi, benda lain pulak datang.
Masa doktor beri taklimat & surat rujukan ke hospital untuk rawatan selanjutnya (ambil darah dll), kepala dah melayang.
Bangun, mabuk, duduk di kerusi, sekali lagi pengsan. Bisa tebuan dah sampai otak agaknya.
Bos saya tiba di klinik, kejarkan saya ke hospital. Terpaksa guna kerusi roda. Kepala mabuk, tak mampu berdiri stabil.
Long story short, ujian darah mendapati memang venom (bisa/racun) ada dalam darah. Mujur kesannya setakat tu. Saya dapat MC, ubat dan pulang ke rumah.
Sekitar 3.30 pagi tadi, saya rujuk info tebuan dengan ChatGPT & Google.
Dalam hierarki serangga berbisa jenis keluarga Vespidae (lebah, tebuan, kelulut dll), serangan paling berbahaya ialah tebuan.

Berdasarkan simptom saya kena, kemungkinan besar yang serang tu jenis tebuan tanah.
Dalam racunnya ada melittin, phospholipase dan histamine-like agents iaitu punca reaksi alahan ekstrim dan organ terganggu.
Ciri-ciri serangan tebuan tanah:
1. Alahan serius (anafilaksis) iaitu gatal seluruh badan, sesak nafas, muka membengkak & berpeluh. 2. Semput teruk. Saya ada athma, lagi teruk. 3. Pengsan berulang-kali. 4. Kesan sistemik. Seluruh badan terasa kesan.
Kesemua ciri ni memang saya dah kena. Jadi, mungkin betullah tekaan saya. Ia adalah tebuan tanah.
Bahayanya, jika mangsa diserang oleh tebuan berkumpulan atau disengat hingga lebih 20 kali, ia boleh membawa maut.
Pengajaran, kalau naik motor di tempat jauh (luar kawasan sekitar rumah), sebaiknya pakailah jaket tebal, sarung tangan & berkasut.
Helmet kena bervisor (full face lagi selamat), jaket bertutup leher, motor kalau boleh pasang windshield.
Gambar ni saya ambil ketika baru sampai klinik, sekitar pukul 9.40 pagi. Semput, cakap gagap, mata merah, muka berdenyut. Tak fikir apa dah.
Sebelum ni saya selalu dah kena sengat lebah ketika bawak motor. Kesannya biasa je, pedih-pedih manja & bengkak gitu. Takda ubat pun. Tunggu surut sendiri je.
Namun, tak lagi kali ni.
Sumber: Adnin Razak