Rusia bakal memperkenalkan ‘kedai’ aplikasi alternatif untuk ‘Google Playstore’ iaitu NashStore dan merancang untuk melancarkannya pada 9 Mei 2022.
Difahamkan 9 Mei merupakan hari Cuti Kebangsaan di Rusia dimana mereka akan menyambut dan meraikan kemenangan negara itu dalam Perang Dunia Kedua.
Memetik daripada laporan Newsweek, buat masa ini Google telah menghalang pengguna dari negara tersebut daripada membeli aplikasi melalui Google Playstore selain turut menyekat pembangun aplikasi dari Rusia menjana pendapatan melalui platform itu.
Keputusan dibuat Google itu dipercayai antara alasan utama kenapa Rusia mengambil keputusan untuk membangunkan gedung aplikasi mereka sendiri.
Membawa maksud ‘kedai kami’
NashStore juga didatangkan dengan maksud nama yang unik iaitu sebagai ‘Kedai Kami’. Walaupun gedung aplikasi ini kelak akan menawarkan muat turun aplikasi secara percuma, seperti Google Play, namun ia juga dibangunkan dengan ekosistem yang sesuai dengan penggunaan kad Mir Bank, iaitu sebuah bank di Rusia. Ini memungkinkan para pengguna memuat turun aplikasi secara berbayar menggunakan kemudahan pembayaran disediakan Mir Bank.
“Semua orang boleh memohon untuk memasukkan perisian mereka dalam NashStore melalui laman web rasmi NashStore.ru. Ketika ini sudah ada lebih 700 pembangun aplikasi yang bekerjasama dengan kami” kata Vladimir Zykov, Pengarah Platform Digital syarikat pembangun.
Sekatan demi sekatan ke atas Rusia
Google Play bukanlah organisasi pertama yang mengenakan sekatan ke atas Rusia susulan pencerobohannya ke atas Ukraine. Beberapa syarikat gergasi teknologi seperti Oracle, EA Games dan Spotify turut mengambil langkah yang serupa sebagai tanda solidariti bersama Ukraine dan mengecam tindakan Rusia.
Malah, Visa dan Mastercard turut menghentikan operasinya di negara tersebut.
BACA: Dibanjiri Lautan Manusia, Suasana Tarawih Pertama Di Masjid Hagia Sophia Selepas 88 Tahun
Sumber: Newsweek