Hari ini, 22 Februari 2022 merupakan tarikh yang sangat unik dan dianggap sebagai ‘hari sekali seumur hidup’. Disebabkan itu, ramai yang memutuskan untuk melangsungkan perkahwinan atau mengadakan majlis istimewa sempena tanggal ‘bersejarah’ ini.
Untuk pengetahuan, tarikh 22/2/2022 dipanggil simetri atau palindrom kerana nombor yang dibaca dari belakang dan ke hadapan adalah sama.
Menurut News18, walaupun ia tidak mempunyai kepentingan sejarah tetapi barisan khas untuk tarikh palindrom nombor 2 ini hanya akan berlaku semula selepas 200 tahun.
Dalam pada itu, kali terakhir tarikh palindrom berlaku adalah pada 11 Januari 2011 iaitu 11/11/11 dan akan berlaku lagi selepas 11 tahun iaitu pada 3 Mac 2033.
Rata-rata warganet teruja dengan tarikh ini yang jatuh pada hari Selasa dan menggelarkannya sebagai ‘Twosday’.
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa 59 pasangan yang telah berkahwin serentak pada hari ini dalam upacara perkahwinan beramai-ramai di Wisma Chin Woo di Ipoh.
Mereka memilik tarikh ini kerana ia dianggap sangat istimewa dan senang diingati.
Sumber: News18