Gambar: Sky Sports

‘Diratah’ City 5-0, Ozil Titip Pesan “Trust The Process” Dipercayai Untuk Penyokong Arsenal

Aqmal Ezany

Mesut Ozil adalah nama yang tidak asing lagi dalam pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal.

Perpindahannya daripada Real Madrid ke The Gunners telah menggembirakan ramai penyokong-penyokong tegar Arsenal.

Manakan tidak, prestasinya di Real Madrid sebelum memilih untuk menyertai Arsenal tidak perlu dipertikaikan lagi. Pelbagai kejuaraan berjaya disumbangkannya kepada kelab gergasi yang bertapak di Sepanyol itu.

Walaupun pasukan Arsenal kini kian jatuh, namun pemain yang pernah menjadi bintang untuk Arsenal itu sempat menitipkan kata-kata kepada penyokong tegar Arsenal yang kini dilihat semakin berputus asa dengan pasukan mereka itu.

“Percaya pada proses,” tulisnya menerusi akaun Twitter rasmi miliknya.

Mungkin beliau percaya bahawa kejatuhan ini adalah salah satu proses yang perlu dilalui sebelum pasukan kembali mencipta kegemilangan seperti pada zaman-zaman lagenda Arsenal yang terdahulu.

Ciapannya itu juga mungkin dibuat selepas menonton aksi sugul yang dipamerkan oleh skuad Mikel Arteta sewaktu dibelasah dengan jumlah jaringan lima berbalas kosong di Etihad sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, Granit Xhaka telah dilayangkan dengan kad merah selepas mengasari Joao Cancelo.

Para penyokong Arsenal yang hadir sebagai pelawat di Stadium Etihad tampak kecewa dengan aksi yang dipamerkan oleh kelab dari utara London itu.

Ekoran daripada itu, Arsenal kini menghuni tangga tercorot di dalam liga tanpa ada sebarang jaringan yang berjaya dicipta selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.

Sumber: Mesut Ozil