Seorang ‘influencer’ media sosial warga Serbia ditemui mati dipercayai selepas menjadi mangsa buli selama bertahun-tahun di media sosial, lapor Daily Mail.
Menurut laporan, mangsa yang berusia 21 tahun itu dijumpai maut di Bandar Belgrade kira-kira pukul 11.40 malam pada 8 Disember baru-baru ini.
Kesan-kesan yang disyaki dikaitkan dengan kematiannya tidak dijelaskan, namun kesnya sedang disiasat oleh pihak polis serta Kementerian Dalam Negeri.
Rakan baik mangsa, Mira Vladisavljevic berkata, dia berasa sangat terkejut dengan apa yang berlaku pada malam itu.
“Mengerikan. Satu kejadian mengerikan berlaku malam tadi.
“Saya merayu kepada semua media untuk melaporkan dengan teliti mengenai kes ini dan mengenai wanita (mangsa) yang menjadi mangsa buli selama lima tahun. Tolong faham,” tegasnya.
Difahamkan, mangsa memiliki lebih sejuta pengikut di akaun Instagram, Youtube dan Twitch dan sering memuat naik pelbagai foto dan video mengenai dirinya.
Bagaimanapun sebilangan besar pengikutnya itu dilapor sering membulinya melalui kata-kata berbaur kecaman melampau yang menghiris perasaan.
Antara kecaman yang dihamburkan kepadanya adalah dia dituduh memiliki wajah yang palsu dan pernah melakukan pembedahan plastik, dipercayai untuk kelihatan cantik.
Selain itu, ada juga warganet lain yang menulis di ruangan komentar (di media sosialnya) dengan ayat “Bunuh diri kau sendiri”.
Difahamkan, mangsa ada memuat naik video di media sosialnya (sebelum kematian) dan meluahkan, tidak ada perkara baik pun yang pernah dilakukannya untuk orang lain.
Mangsa juga mendakwa berasa sangat tertekan akibat dibuli di media sosial dan berharap agar dia dapat berasa gembira dengan apa yang dibuatnya untuk kehidupan.
Menurut laporan itu lagi, mayat mangsa dikebumikan di sebuah tanah perkuburan terbesar di bandar itu pada 14 Disember baru-baru ini.
Sumber: Daily Mail