Seremban: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas dipercayai tergelincir ke dalam kolam takungan air ketika dalam perjalanan ke dusun miliknya, dalam kejadian di Felcra Lakai, Jelebu pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Pegawai Bomba Kanan II Azmi Wahab berkata dalam kejadian pukul 11.55 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Hew Ah Yoon, 66, ditemukan sepasukan anggota di dasar kolam berkenaan pada kedalaman 3.04 meter (10 kaki).
”Mangsa ditemui di bahagian tengah kolam dan kerja-kerja menyelamat yang dijalankan menggunakan peralatan ‘Grappling Iron’ bagi mencari dan mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Azmi berkata bomba menerima panggilan kecemasan daripada anak saudara mangsa pada 11.55 pagi yang melaporkan kejadian berkenaan dan tiba bersama 10 anggota, 15 minit kemudian.
”Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
— BERNAMA