Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan, kecaknaan terhadap kebersihan sungai masih lagi rendah dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Sehingga hari ini beberapa sungai di dalam negara dicemari dengan sampah sarap sehingga ‘mencacatkan’ pemandangan di sungai itu.
Memetik laporan Utusan pada 24 November, sebanyak 75,000 tan metrik sampah berjaya dikumpulkan dari Sungai Klang antara tahun 2016 hingga September lalu.
Difahamkan, 80 peratus daripada sampah bukan organik adalah plastik dan bakinya adalah bungkusan makanan dan minuman.
Susulan itu, The Ocean Cleanup iaitu pertubuhan dari Belanda sedang melalukan penilaian untuk menempatkan Interceptor seterusnya di Malaysia. Salah satu sungai yang sedang dinilai adalah Sungai Tebrau.
Menurut model data pertubuhan tersebut, Sungai Tebrau merupakan sungai ke-53 paling tercemar di dunia.
Bukan pertama kali, sebelum ini pertubuhan tersebut telah menempatkan dua Interceptor di negara ini dan salah satunya adalah di Sungai Klang.
Teknologi interceptor itu dikatakan mampu memerangkap hingga 100 tan sehari sampah terapung yang dibuang ke dalam sungai.
Sumber: The Ocean Cleanup