Gambar Via Kosmo

Dipercayai Mengamuk Tak Dapat Wang Beli Dadah, Lelaki Tumbuk Dan Tendang Bapa Tiri

Sofea

Gagal mendapatkan wang yang dipercayai untuk membeli dadah, seorang lelaki dilaporkan bertindak menumbuk dan menendang bapa tirinya dalam kejadian di Kampung Ruat di sini, pagi tadi.

Memetik laporan Kosmo, lelaki berusia 29 tahun yang juga seorang penganggur dan pesakit mental itu mengamuk kerana tidak diberikan wang.

Tindakannya itu menyebabkan mangsa yang berusia 71 tahun mengalami bengkak di bahagian telinga kiri serta mengadu sakit pada muka dan dada.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata suspek berang selepas mangsa enggan memenuhi permintaannya untuk mendapatkan wang yang dipercayai bagi membeli dadah.

“Lelaki itu bertindak menumbuk di bahagian kiri kepala serta menendang pada dada dan muka mangsa ketika mereka berada di ruang tamu rumah.

“Mangsa bersama isterinya kemudian keluar dan duduk di luar sebelum suspek bertindak menendang bahagian belakang mangsa,” katanya.

Selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Yan.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan penagih dadah tegar dan sering memukul mangsa sekiranya gagal mendapatkan wang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, suspek telah berjaya ditahan di Lubuk Boi kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 6.45 petang tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2012.

Sumber: Kosmo