Gambar: India.com

Dipercayai Mabuk, Lelaki Bunuh & Rogol Mayat Nenek Berusia 74 Tahun

Aqmal Ezany

Seorang lelaki berumur 35 tahun bakal berdepan hukuman penjara selepas disyaki membunuh dan merogol seorang nenek yang berusia 74 tahun.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Samosir, AKP Suhartono, mendedahkan bahawa kejadian itu berlaku pada Khamis di rumah mangsa yang terletak di Desa Tomok Parsaoran, Kabupaten Simanindo, Sumatera Utara, Indonesia.

“Kami telah berjaya menahan suspek ketika dia sedang hendak melarikan diri. Ketika hendak ditahan, suspek telah bertindak agresif dan melawan pihak polis,” kata AKP Suhartono.

Suspek dilaporkan telah berjaya ditangkap beberapa jam selepas kejadian, sebelum sempat dia melarikan diri ke kampung halamannya.

Kejadian itu terbongkar selepas keluarga mangsa berasa curiga mangsa tidak keluar dari rumahnya.

Kerana mengesyaki sesuatu, keluarga mangsa telah membuka pintu rumah serta pintu bilik mangsa. Mereka kemudiannya mendapati bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Seorang penduduk mendedahkan bahawa dia ada terlihat suspek di kediaman mangsa pada waktu malam. Ekoran daripada itu, penduduk tersebut terus melaporkannya kepada pihak polis.

“Suspek adalah merupakan salah seorang rakan ahli keluarga mangsa. Suspek pernah tidur di rumah mangsa. Tidak ada hubungan istimewa antara mangsa dan suspek,” kata AKP Suhartono.

Menurutnya, pada malam kejadian, suspek telah datang ke rumah mangsa selepas minum arak. Pada masa itu, mangsa sedang tidur dan mengetuk rumah mangsa.

Selepas mangsa membuka pintu, mangsa menyuruh suspek tidur sebelum dia masuk semula ke biliknya untuk sambung tidur.

Sekitar pukul 1 pagi, suspek dilaporkan telah masuk ke bilik mangsa dengan memanjat dinding. Semasa di dalam bilik, mangsa telah terjaga. Khuatir tindakannya disedari, suspek terus menekap mulut mangsa dan mencekiknya.

“Ketika dia mengetahui mangsa telah meninggal, suspek telah bertindak memperkosa tubuh mangsa. Setelah itu, dia meninggalkan bilik mangsa dengan memanjat dinding,” tambahnya.

Susulan daripada itu, suspek menyambung tidurnya sebelum meninggalkan rumah tersebut pada sekitar pukul 6 pagi.

Atas perbuatannya, suspek bakal didakwa dengan Artikel 338 Kanun Jenayah berkaitan pembunuhan.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun atas kesalahan membunuh.

Sumber: suarasumut.id