Beberapa orang saintis dilaporkan telah menemui fosil lipan gergasi di pantai di Northumberland.
Memetik laporan BBC, lipan yang dikenali sebagai Arthropleura itu dianggarkan mempunyai panjang lebih daripada 2.5 meter dan berat kira-kira 50 kilogram. Difahamkan, fosil itu pertama kali dikesan pada 2018 apabila bongkah batu pasir yang besar jatuh ke pantai di Teluk Howick.
“Ia adalah penemuan secara kebetulan, batu pasir yang jatuh itu telah retak terbuka dan mendedahkan fosil dengan sempurna,” kata penganalisis Jabatan Sains Bumi Cambridge, Dr Neil Davies.
Hasil kajian yang dilakukan ke atas fosil itu, ia dipercayai hidup sekitar 326 juta tahun dahulu di timur laut England yang mempunyai iklim tropika yang berbezza berbanding hari ini.
Bagaimanapun, saintis percaya bahawa fosil itu sebenarnya bukan makhluk mati tetapi eksoskeleton atau bahagian kerangka tulang yang dibuang oleh lipan semasa ia membesar.
Lipan itu juga mempunyai sekurang-kurangnya 32 kaki hingga 64 kaki.
Para saintis berkata untuk mencapai saiz yang besar, Arthropleura perlu mempunyai diet nutrien yang tinggi iaitu dengan memakan kacang, makhluk kecil dan amfibia.
Fosil itu akan dipamerkan kepada umum di Muzium Sedgwick, Cambridge pada tahun depan.
Sumber: BBC