
Dilapor Hilang Selepas Ambil Makanan Di Parkir Kereta, Madrafataha Ditemui Selamat
Misteri kehilangan seorang remaja perempuan, Madrafataha Indal Bangsawan, 12, yang dilaporkan hilang terjawab setelah dia ditemui selamat selepas dipercayai diculik sekumpulan individu sewaktu keluar dari rumahnya di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, mangsa ditemui sekitar jam 2.30 petang semalam.
Penemuan mangsa kemudian membawa kepada penangkapan enam individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan seorang diri sebelum dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam.
Katanya, pihak polis telah membuat serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi antaranya Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran berdasarkan maklumat yang diterima.
“Operasi bermula jam 5 petang itu dijalankan sepasukan anggota polis Cawangan D8 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Susulan itu, seramai enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berumur lingkungan 13 hingga 23 tahun berjaya diberkas,” katanya.
Sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan ketika kejadian antara yang dirampas dalam serbuan itu.
” Semakan mendapati salah seorang suspek didapati memiliki satu rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Sebelum ini, Madrafataha dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada Selasa lalu.
Difahamkan, mangsa telah turun ke kereta yang di parkir di bawah rumah flat untuk mengambil makanan ketika disuruh ibunya sekitar jam 2.20 petang.
Selepas itu, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah.
BACA: Madrafataha Dilapor Hilang Ketika Ambil Makanan Di Kereta
BACA: Keluarga Mohon Bantuan Jejak Empat Pelajar Tahfiz Hilang
BACA: Empat Pelajar Tahfiz Didapati Ada Kesan Cedera Disyaki Didera
Sumber: Sinar Harian