Dilapor Hilang, Pelajar Perempuan Ditemukan Maut Ditanam
Seorang pelajar perempuan yang sebelumnya dilaporkan hilang akhirnya ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati.
Mayat mangsa ditemui ditanam di kawasan ladang sawit di Desa Taluk, Kecamatan Natal, Mandailing Natal, pada malam Khamis lepas.
Kehilangan mangsa, 15, mula disedari selepas dia tidak pulang ke rumah pada petang Selasa lepas, usai menghadiri latihan mengibar bendera di sekolahnya.
Kejadian ini mencetuskan kebimbangan penduduk kampung dan hebahan mengenainya turut dibuat melalui media sosial termasuk Facebook bagi meminta bantuan orang awam.
Mayat ditemui tertanam tanpa seutas benang, kepala ditutup baldi
Selepas tiga hari pencarian, penduduk yang sedang bekerja di sebuah kolam tadahan air di ladang sawit akhirnya menemui mayat mangsa.
Difahamkan, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tertanam tanpa seutas benang, dengan kepala ditutup menggunakan baldi.
Penemuan itu tular menerusi beberapa rakaman video yang dikongsi di media sosial.
Ketua Polis Balai Natal, AKP Maraden Pakpahan, mengesahkan penemuan mayat dan memaklumkan bahawa seorang suspek telah berjaya ditahan oleh pihak Polis Daerah Mandailing Natal (Polres Madina).
Lebih mengejutkan, suspek utama sebenarnya adalah jiran mangsa dan turut berpura-pura membantu operasi mencari mangsa bersama penduduk.
Difahamkan, suspek juga mempunyai seorang isteri yang sedang sarat mengandung anak sulung mereka.
Motif: Rompakan & serangan seksual
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polres Madina, AKP Ikhwanuddin Nasution, siasatan awal mendapati suspek mengaku membunuh mangsa selepas cuba merompak motosikal dan melakukan serangan seksual terhadap mangsa.
“Pelaku panik apabila mangsa melawan, lalu memukul dan menganiayanya hingga mati sebelum menanam mayat mangsa untuk menghapuskan bukti,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Namun begitu, polis masih menunggu keputusan autopsi bagi mengesahkan sama ada mangsa telah dicabul, memandangkan mayat ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian.
“Siasatan masih diteruskan dan keputusan autopsi akan menentukan tindakan selanjutnya,” kata Ipda Bagus Seto.
BACA: Bendera One Piece Trending Di Indonesia, Rupanya Ini Sebabnya
BACA: Indonesia Larang Kibar Bendera One Piece Secara Sembarangan Menjelang Hari Merdeka
BACA: Ratusan Bekas Pegawai Keselamatan Israel Tandatangan Surat Terbuka Untuk Trump
Sumber: Kompas.com, Pojoksatu.id