pesawat hilang terbakar
Gambar: AI/ImageFX

Dilapor Hilang Dari Radar, Pesawat Bawa 49 Penumpang Ditemui Terbakar

Hannah

Dilapor Hilang Dari Radar, Pesawat Bawa 49 Penumpang Ditemui Terbakar

Sebuah pesawat penumpang yang membawa 49 individu dilaporkan hilang dari radar ketika dalam penerbangan di wilayah timur jauh Rusia, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh gabenor wilayah Amur pada Khamis.

Pesawat jenis Antonov-24 itu dilaporkan terputus hubungan ketika dalam perjalanan dari bandar Blagoveshchensk ke bandar Tynda.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Gabenor Amur, Vassily Orlov menerusi satu hantaran di saluran Telegram rasminya.

Beberapa jam selepas laporan kehilangan itu tular, Kementerian Kecemasan Rusia memaklumkan bahawa pasukan penyelamat telah berjaya mengesan fiuslaj pesawat berkenaan dalam keadaan terbakar.

“Helikopter Mi-8 yang dikendalikan oleh pihak Rosaviatsiya (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Rusia) telah menemui fiuslaj pesawat yang sedang terbakar,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan menerusi Telegram.

BACA: Pesawat Tentera Udara Bangladesh Terhempas Di Sekolah, 16 Maut

Video yang diterbitkan oleh penyiasat Rusia menunjukkan kepulan asap dari serpihan pesawat di kawasan hutan yang padat.

Seorang penyelamat berkata kepada agensi berita TASS bahawa bentuk muka bumi hutan telah menyukarkan perjalanan untuk ke tapak kejadian itu.

“Operasi pencarian utama sedang dijalankan dari udara,” katanya.

Dalam pada itu, gabenor wilayah, Vassily Orlov berkata pesawat itu membawa 43 penumpang dan enam anak kapal. Antara penumpang itu ialah lima kanak-kanak.

Pesawat itu dikatakan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan kedua ke lapangan terbang Tynda.

“Semasa menghampiri Lapangan Terbang Tynda, pesawat itu beredar untuk pendaratan kedua, selepas itu hubungan terputus,” kata Pejabat Pendakwa Pengangkutan Timur Jauh Rusia.

Bagaimanapun, punca kejadian itu masih lagi dalam siasatan.

Antonov-24 ialah pesawat twin-propeller rekaan Soviet yang popular dan mula beroperasi pada tahun 1959.

Rusia telah mengambil langkah untuk beralih daripada pesawat Soviet kepada jet moden dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi pesawat ringan yang sudah tua masih digunakan secara meluas di kawasan yang jauh, dengan kemalangan kerap berlaku.

Sumber: AFP