"Golden Blood", Ini Fakta
Kredit: Gambar AI/Chatgpt

Dikenali Sebagai "Golden Blood" Fakta Menarik Tentang Darah Rh-null

Iqbal Yasir

Dikenali Sebagai "Golden Blood", Ini Fakta Menarik Tentang Darah Rh-null

Bila sebut tentang darah, A+, A-, B+, B-, AB+, AB-, O+ dan O- antara jenis kumpulan darah yang biasa didengari dan tidak asing lagi.

Tapi pernah tak anda mendengar Rh-null atau digelar golden blood atau “darah emas”?

Tahukah anda, Rh-null merupakan kumpulan darah yang sangat jarang ditemui. Difahamkan, hanya kira-kira 43 orang direkodkan memiliki darah emas ini.

Ia menjadikannya antara darah paling 'mahal' dan sukar diperoleh dalam bidang perubatan.

Apa Itu Rh-null (Darah Emas)?

Darah emas ialah jenis darah paling jarang yang diketahui di dunia. Ia juga dikenali sebagai darah Rh-null.

Jenis darah emas ini pertama kali ditemui pada seorang wanita Orang Asli Australia pada tahun 1961.

Keistimewaan Darah Emas

Keistimewaan darah emas terletak pada ketiadaan semua antigen Rh dalam sel darah merah.

Antigen ini biasanya menentukan sama ada seseorang mempunyai darah Rh-positif atau Rh-negatif.

Namun bagi individu Rh-null, mereka langsung tidak mempunyai sebarang antigen Rh, menjadikan darah mereka sangat sesuai untuk transfusi kepada pesakit dengan jenis darah jarang.

Bagaimanapun, kelebihan itu datang dengan risiko besar. Individu yang memiliki darah emas menghadapi kesukaran besar jika mereka sendiri memerlukan pemindahan darah.

Ini kerana darah biasa mengandungi antigen Rh yang boleh mencetuskan reaksi imun berbahaya dalam tubuh mereka.

Justeru, ramai individu Rh-null disarankan menyimpan darah mereka sendiri untuk kegunaan kecemasan.

Bagaimana kumpulan darah Rh-null terbentuk?

Menurut Pakar perubatan transfusi, Dr. Zaher Otrock, darah emas dipercayai berlaku akibat mutasi genetik yang sangat jarang.

Seseorang itu berkemungkinan mempunyai kumpulan darah Rh-null oleh kerana beberapa faktor;

  • Perkahwinan antara keluarga seperti sepupu, adik-beradik atau keluarga terdekat

  • Kelainan genetik seperti penyakit keturunan

  • Perubahan atau kehilangan sesetengah genetik seperti RHD dan RHCE atau RHAG

Darah 'Neutral'

Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), secara saintifik, sel darah merah ibarat "neutral". Kosong. Tak ada satu pun daripada 61 jenis antigen dalam sistem Rh.

Dalam bahasa yang mudah, darah ini sangat "tulen" sampaikan ia boleh dipindahkan ke mana-mana manusia di muka bumi yang ada masalah darah rare, tanpa sebarang penolakan.

Ironinya, di sebalik keistimewaan Rh null ini, pemilik darah emas boleh menyelamatkan ramai pesakit lain, tetapi mereka sendiri hanya boleh menerima darah daripada kumpulan Rh null yang sama.