Dikenali Dengan Wajah Ceria, Cef Terkenal Turki Menangis Rayu “Followers” Teruskan Bantuan
Cef terkenal Turki, CZN Burak dalam satu perkongsian videonya dilihat menangis ketika bercakap tentang kemusnahan akibat gempa bumi yang menimpa kampung halamannya di Hatay, Turki.
Berdasarkan laporan GVS, Burak dalam mesej videonya merayu pengikutnya di seluruh dunia untuk menderma kepada mangsa yang terjejas akibat gempa bumi.
Dia dilihat menangis tanpa henti dalam video tersebut dan memberitahu pengikutnya bahawa dia sendiri akan turun padang membantu mangsa gempa bumi berkenaan.
Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang
Burak ialah seorang cef yang terkenal di Turki dan mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.
Dia terkenal dengan video masakan dalam kuantiti yang banyak untuk diberikan kepada pelarian Syria.
Cef yang sentiasa tersenyum dalam video masakannya telah membuatkan pengikutnya turut bersedih
Sementara itu, pengguna media sosial telah menyatakan solidariti mereka dengannya dan cuba menghiburkan semula cef tersebut.
“Ini membuatkan saya sedih,” tulis seorang peminatnya di Facebook.
“Manusia yang baik dengan hati yang besar,” tulis seorang lagi pengguna media sosial tersebut.
“Tolong jangan menangis, doa kami sentiasa bersama kamu,” tulis seorang lagi peminat yang turut bersedih dengan berita tersebut.
Berita sedih yang menyayat hati ini mula mendapat perhatian dunia selepas negara Turki dan Syria dilanda gempa bumi dahsyat pada awal minggu ini.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada Isnin kira-kira jam 4 pagi itu telah mengorbankan lebih daripada 11,000 orang di Turki dan Syria akibat daripada gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud.
Video kemusnahan dan operasi menyelamat telah tular di media sosial sejak Isnin yang lalu. Rakaman yang dikongsi pasca kejadian gempa di negara tersebut sangat menyayat hati.
Selain itu, pasukan penyelamat dan bantuan dari seluruh dunia telah mula tiba di Turki dan Syria bagi membantu mangsa tragedi gempa bumi kuat tersebut.
Terdapat ramai orang berjaya diselamatkan daripada bawah runtuhan-runtuhan bangunan yang berlaku akibat kejadian gempa kuat tersebut.
Namun ramai juga yang masih menunggu bantuan untuk diselamatkan dari bawah runtuhan-runtuhan bangunan berkenaan.
Sumber: Global Village Space