Congo – Amalan poligami di negara Afrika tengah masih lagi diteruskan walaupun ia telah diharamkan secara rasmi selama lebih tiga dekad.
Memetik laporan AFP, rata-rata rakyat di negara itu masih menyokong amalan berkahwin lebih dari seorang. Malah, lebih mengejutkan ada yang berkahwin dengan ramai wanita secara serentak.
Pada 2012, seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga merupakan paderi dilaporkan telah berkahwin dengan tiga wanita secara serentak di gerejanya di timur Republik Demokratik Congo.
Menurut lelaki itu, dia pernah menceraikan salah seorang isterinya kerana ‘berkelakuan buruk’, tetapi kini dia mempunyai empat orang isteri berumur antara 26 hingga 48 tahun.
“Saya boleh berkahwin lagi, impian saya ialah untuk mendapat tujuh isteri,” katanya yang kini mempunyai 16 orang anak.
Menurut Pusat Penyelidikan Pew, Amerika Syarikat, sekitar dua peratus penduduk dunia tinggal dalam rumah tangga yang berpoligami.
Amalan ini paling meluas di sub-Sahara Afrika, di mana dianggarkan 11 peratus penduduk mengamalkannya.
Di Congo, kebanyakan lelaki bermegah kerana memiliki ‘cawangan kedua’ yang diketahui oleh semua orang termasuk pasangan mereka.
Sementara itu, video yang menunjukkan seorang lelaki yang didakwa mengahwini tiga wanita pada masa yang sama telah disiarkan di YouTube pada bulan lalu dan menjadi tular di media sosial.
Ia dipercayai memaparkan seorang lelaki muda Congo yang kononnnya jatuh cinta dengan seorang wanita yang mempunyai dua orang kembar yang seiras.
Bagaimanapun, kisah yang disebarkan di media sosial itu adalah palsu.
Seorang pengarah filem dari bandar timur Goma mendedahkan bahawa dia sebenarnya yang menerbitkan video itu.
Gambar: AFPMenurutnya, ia berdasarkan kisah benar dan menggunakan pelakon untuk membangkitkan isu poligami.
Dalam pada itu, berbalik kepada paderi yang berkahwin dengan empat wanita, dia dipercayai sering menerangkan dan memuji kebaikan poligami dalam gerejanya.
Menurut laporan, gereja itu telah ditubuhkan pada tahun 1983 dan merupakan salah satu daripada banyak mazhab agama di Congo.
Dia dipercayai sering memberikan khutbah mengenai kisah manusia bermula dengan seorang lelaki dan beberapa perempuan.
“Daripada hidup dalam perzinaan, Tuhan memberi kuasa kepada manusia untuk mempunyai beberapa orang isteri,” katanya kepada AFP.
Pun begitu, penganut Kristian yang lain pernah mencabar tafsiran paderi itu mengenai poligami yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
“Poligami adalah institusi manusia yang jauh ke belakang dalam budaya tradisional Afrika dan Congo. Ia bukan institusi ketuhanan,” kata seorang paderi Katolik di Bukavu.
Selain itu, seorang peguam dan profesor undang-undang di bandar selatan Lubumbashi berkata Perlembagaan dan kod keluarga Congo telah menyatakan dengan jelas bahawa poligami merupakan satu kesalahan sejak 1987.
“Poligami diamalkan di dalam tradisi Congo walaupun larangan telah dikeluarkan menerusi undang-undang rasmi.
“Ia bukan poligami, tetapi sebenarnya adalah monogami,” katanya.
Sumber: AFP