‘Super Flu’ Dikesan Di Indonesia
JAKARTA — Varian Influenza A (H3N2) subclade K yang digelar super flu, telah dikesan memasuki Indonesia, lapor CNBC Indonesia.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemenkes RI) selepas subclade K di kesan pada 25 Disember lalu.
Pemangku Pengarah Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan RI, dr Prima Yosephine, menjelaskan bahawa setakat ini belum terdapat bukti saintifik yang menunjukkan varian ini menyebabkan tahap parah penyakit yang lebih tinggi berbanding varian influenza sebelum ini.
“Merujuk kepada penerbitan terkini pada Disember 2025, influenza A (H3N2) merupakan salah satu virus yang sedang muncul (emerging virus) yang pernah menyebabkan pandemik di Amerika Syarikat pada tahun 1968.
” Ia kembali menjadi punca peningkatan kes selesema pada 2024 hingga 2025, khususnya dalam kalangan kanak-kanak,” jelas dr Prima.
Sementara itu, penyelidik kanan di Johns Hopkins Center for Health Security, Amesh A. Adalja, M.D berkata subklade K merupakan mutasi terbaharu daripada virus Influenza A (H3N2) yang telah wujud selama selama berdekad-dekad.
Tambahnya, para saintis pertama kali mengesannya kembali pada Jun 2025 dan sejak itu virus ini merebak dengan sangat pantas.
Antara gejala utama super flu ialah batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot, sakit kepala serta keletihan
Virus ini dikatakan lebih berisiko kepada warga emas, individu dengan sistem imun lemah dan mereka yang mempunyai tahap kecergasan rendah, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi kesihatan termasuk penyakit salur darah dan serangan jantung.
Ketua Penyakit Berjangkit Universiti Buffalo, New York, Thomas Russo, M.D., berkata vaksin berkenaan mampu mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kesan komplikasi yang lebih buruk.
Tambahnya, selain vaksin influenza, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup yang sesak juga boleh membantu mencegah jangkitan super flu.
Sumber: CNBC Indonesia