Seorang budak perempuan di India diberi nama gelaran Spidergirl gara-gara hidup dengan memiliki empat tangan dan empat kaki sejak dilahirkan, lapor Mirror baru-baru ini.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu mempunyai dua tangan tambahan dan dua kaki ‘diikat’ pada pinggangnya. Dia tinggal bersama ibunya, Usha Devi di Kampung Hemda di Nawada, Bihar di India.
Menurut Mirror, ibunya terkejut selepas anaknya itu lahir dengan sepasang tangan dan kaki tambahan yang melekat pada tubuhnya.
Biarpun gadis berusia dua tahun itu mempunyai anggota tangan dan kaki yang berlebihan, namun dia hanya mampu berdiri atas dua kakinya sahaja.
Gambar: MirrorManakala, empat anggota badan tambahan kelihatan tidak bergerak dan terkeluar dari pinggangnya. Kanak-kanak berpakaian kuning itu kelihatan tertekan semasa rakaman itu diambil.
Sementara itu, pihak keluarganya merayu agar orang ramai membantu dalam mengumpul dana yang mencukupi untuk menjalankan proses pembedahan ke atas budak perempuan itu.
Mereka percaya bahawa anggota yang menempel pada badan gadis itu memberikan kesan kepada kualiti hidupnya. Sehubungan itu, keluarga itu menyeru kerajaan tempatan untuk turut campur tangan dalam membantu mereka.
Sementara itu, dipercayai juga, anak lelaki keluarga itu yang berusia 11 tahun turut dilahirkan cacat.
Gambar: MirrorKejadian bayi dilahirkan dengan anggota badan yang lebih
Sebelum ini, pada 2015, seorang bayi dilahirkan dengan lapan anggota badan di India. Bayi itu mempunyai dua pasang tangan dan dua pasang kaki yang dipercayai akibat daripada kecacatan kelahiran kembar siam yang kurang berkembang semasa dalam kandungan.
Walau bagaimanapun, golongan para ‘penyembah’ di India berkumpul di bandar kecil Dumri-Isri untuk menyambut kelahiran bayi itu yang dianggap jelmaan semula Dewa Hindu Ganesha.
Selain itu, seorang wanita turut dilapor melahirkan bayi perempuan dengan empat kaki dan tiga tangan pada tahun 2019. Ibu Raju, 24, melahirkan anak itu di hospital kerajaan di Tonk di Rajasthan, India.
Pada awalnya, doktor berpendapat bahawa ia adalah anggota badan daripada dua kembar siam lagi yang bercantum pada badanya.
Doktor percaya gadis itu pada asalnya sebahagian daripada ‘set’ kembar tiga, dua daripadanya menjadi kembar siam. Tambahan pula, bayi perempuan itu dilahirkan bersama seorang adik lelaki yang sihat.
Sumber: Mirror