Digelar ‘Newton Gaza’, Remaja Bina Alat Jana Elektrik Daripada Angin
Walaupun serba kekurangan dan tanah airnya dilanda perang, seorang remaja di Gaza dilapor berjaya mencipta kincir angin daripada barang-barang terpakai.
Kincir angin tersebut mampu menjana elektrik dan memberikan keselesaan kepada ahli keluarga serta penduduk sekitar yang tinggal dalam khemah perlindungan sementara di Rafah.
Hasil ciptaan genius itu, Hussam Al-Attar, 15, kemudian digelar sebagai Newton Gaza oleh penduduk setempat.
Hidup serba kekurangan, dengan kemudahan asas seperti elektrik yang terhad, mereka menganggap ciptaan Hussam itu memberikan sedikit kelegaan.
Menurut Hussam, selepas mengkaji dan melakukan beberapa eksperimen, dia berjaya mencipta kincir angin dengan menggunakan dinamo serta bilah kipas.
Kincir angin itu kemudian dipasang di atas bumbung rumah satu tingkat dan bertindak seperti turbin yang mengecas bateri.
Digelar Newton Gaza kerana cipta kincir angin
Bagi mencipta sistem elektrik yang lengkap, kincir angin itu disambungkan dengan beberapa wayar ke khemah mereka melalui rumah berkenaan.
Wayar-wayar elektrik itu berhubung dengan suis dan lampu-lampu yang ada.
Hasilnya, khemah-khemah yang dibina berdekatan rumah berkenaan dapat diterangi cahaya pada waktu malam.
Malah, mereka juga dapat mengecas peranti elektronik masing-masing.
“Kami berpindah ke Rafah untuk mencari tempat perlindungan. 20 hari pertama, kami hidup dalam kegelapan.
“Keadaan sangat gelap pada waktu malam. Saya merasa sangat kasihan apabila melihat keadaan ibu, ayah dan keluarga saya apabila terpaksa bergelap.
Nak kurangkan kesengsaraan yang dilalui keluarganya ketika ini
“Jadi, saya berusaha mencipta alat ini untuk mengurangkan kesengsaraan yang kami lalui ketika ini,” kata Hussam mengulas mengenai ciptaanya.
Berkenaan gelaran yang diberikan kepadanya, Hussam mengakui merasa bangga apabila digelar Newton Gaza.
“Newton duduk dibawah pokok dan buah epal jatuh di atas kepalanya, selepas itu dia menemui graviti.
“Kami disini pula serba kekurangan dan hidup dalam kegelapan, dan saya terfikir nak hasilkan cahaya, itulah yang saya lakukan,” katanya.
BACA: Palestin Sambut Baik Langkah Bersyarat ICJ Ke Atas Perang Israel Di Gaza
Sumber: BNN, DW, Sinar Harian