
Didakwa Rasuah, Nicolas Sarkozy Dihukum Pakai Gelang Kaki Elektronik
Bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dilapor bakal memakai gelang kaki elektronik selepas disabit bersalah memberi rasuah, lapor AFP.
Mahkamah Rayuan Paris telah memerintahkan beliau memakai alat berkenaan selama setahun, selepas didapati bersalah atas percubaan haram mendapatkan bantuan daripada hakim pada Disember lalu.
Menurut sumber, hakim memutuskan Sarkozy, 70, akan memakai gelang kaki elektronik bermula 7 Februari, malah hanya dibenarkan keluar dari rumah pada waktu tertentu.
Peguam Sarkozy, Jacqueline Laffont memaklumkan bahawa prosedur sedang dijalankan, manakala beliau tidak mempunyai sebarang komen lanjut mengenai hukuman yang telah dijatuhkan.
AFP berkata, bekas presiden Perancis itu telah menghadiri mahkamah selama tiga minggu sepanjang bulan lalu sebagai sebahagian daripada perbicaraan berasingan, di mana beliau turut didakwa menerima pembiayaan kempen haram sebelum pilihan raya 2007.
Cuba mendapatkan maklumat rahsia daripada seorang hakim
Dalam kes yang mengakibatkan beliau perlu memakai gelang elektronik, mahkamah mendapati bahawa Sarkozy dan bekas peguamnya, Thierry Herzog telah didakwa cuba mendapat maklumat rahsia daripada hakim Gilbert Azibert pada 2014.
Sebagai balasan, hakim itu dijanjikan jawatan persaraan yang sangat lumayan.
Perbicaraan ke atas Sarkozy dilakukan selepas penyiasat yang menyiasat kes pembiayaan kempen haram yang lain melakukan pemantauan telefon terhadap dua talian rasmi Sarkozy.
Menurut AFP, penyiasat berkenaan memiliki bukti bahawa beliau mempunyai talian ketiga yang tidak rasmi.
Difahamkan, talian tersebut didaftarkan pada 2014 di atas nama “Paul Bismuth” dan hanya digunakan untuk berkomunikasi dengan peguamnya. Oleh itu, kandungan panggilan telefon berkenaan membawa kepada sabitan rasuah terhadap Sarkozy pada tahun 2021.
BACA: Ramai Tak Sabar, Running Man Jumpa Peminat Di Malaysia Petang Ini
Sumber: AFP