Turki dilapor menghantar pulang pelarian warga Syria atas kesalahan memuat naik video makan pisang ke media sosial yang dianggap sebagai provokatif, lapor Suara.com.
Media melaporkan, pihak berkuasa negara berkenaan menyiasat 31 orang yang terlibat dalam kontroversi tersebut dan menahan 11 orang, namun hanya menghalau 7 daripadanya.
Kesemua yang ditahan disiasat dibawah kesalahan menghasut dan menghina orang awam untuk menimbulkan kebencian dan permusuhan.
Menurut rekod, kes ini bermula apabila seorang pemuda Turki yang kesusahan mengeluh apabila melihat pelarian Syria mampu membeli pisang, sedangkan dirinya tidak mampu berbuat demikian.
Keluhan itu kemudian tersebar hingga menarik perhatian kumpulan pelarian Syria. Setelah itu, ramai pelarian Syria merakam aksi memakan pisang dan memuat naik ke media sosial seperti TikTok dan menjadi trend, dipercayai bertujuan untuk menyindir.
Tindakan berkenaan dianggap sebagai provokatif dan mengejek orang-orang Turki yang tidak bernasib baik, hingga memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Turki ketika ini menjadi ‘rumah’ kepada 3.7 juta pelarian Syria.
Sumber: Suara.com