Dewan Makan MRSM Taiping Diarah Tutup – Exco Perak
Dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping telah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan kejadian keracunan makanan, lapor Astro Awani.
Difahamkan, insiden terbabit turut melibatkan pelajar di institusi pendidikan berkenaan pada 30 dan 31 Ogos lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, hasil pemeriksaan Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) mendapati rating premis itu pada waktu tersebut adalah 70.11 peratusan.
Dewan makan MRSM Taipung ditutup susulan kes keracunan makanan
Tambahnya, sehubungan itu, pihak PKD LMS telah mengeluarkan arahan penutupan premis dewan makan MRSM Taiping di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaan semula ke atas premis terbabit telah dilakukan pada 2 September dan mendapati bahawa rating pada waktu tersebut adalah 88.51 peratus.
Menurut Astro Awani, dewan makan itu kemudian dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan seperti yang dicadangkan.
“Pihak PKD LMS telah merancang untuk melakukan pemeriksaan premis ini secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan di premis tersebut sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat,” ujarnya.
PKD LMS terima 30 notifikasi kes keracunan makanan
Terdahulu, Sivanesan memaklumkan bahawa PKD LMS telah menerima 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos.
Malah terdapat 32 kes tambahan pada hari berikutnya dari Klinik Kesihatan Taiping yang membabitkan pelajar yang tinggal di asrama dalam MRSM Taiping.
Kata beliau lagi, hasil siasatan awal di lapangan mendapati kesemua pelajar terbabit yang berusia di antara 16 hingga 17 tahun mempunyai sejarah makan di dewan makan MRSM Taiping.
Menurut Astro Awani lagi, para pelajar turut mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam dan muntah.
Kejadian yang sama pernah berlaku di MRSM Taiping
Sivanesan menjelaskan bahawa sebanyak empat sampel klinikal diambil daripada kalangan kes yang bergejala.
Selain itu, dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali juga diambil pada 30 Ogos untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh bagi tujuan analisis.
“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di lokasi berkenaan pada tahun 2018, malah laporan mengenainya kita telah hantar kepada pihak sekolah serta MARA untuk tindakan lanjut.
“Kita mengambil serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak pengusaha.
“Kejadian itu tidak sepatutnya diambil lewa oleh mana-mana pihak kerana kita tidak mahu ada anak-anak ini yang menjadi korban pihak tidak bertanggungjawab,” jelasnya seperti yang dilaporkan dalam Astro Awani.
BACA: Bonnie Bunyau Gustin Raih Emas, Pecah Rekod Dunia
Sumber: Astro Awani