Detik Hafizh Syahrin Menang Perlumbaan 2 Di Motegi
Pelumba pasukan JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah apabila berjaya merangkul kemenangan sulungnya dalam Perlumbaan 2 kategori ASB1000 pada Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2025, yang berlangsung di Litar Mobility Resort Motegi, Jepun.
Dalam perlumbaan penuh debaran itu, Hafizh berjaya menewaskan Keito Abe dari pasukan SDG HARC-PRO Honda Philippines, yang memberikan saingan sengit terutama pada beberapa pusingan terakhir.
Perlumbaan yang melibatkan 11 pusingan itu menyaksikan Hafizh tampil menebus kekalahannya dalam Perlumbaan 1 sebelum ini.
Bermula dari barisan utama, Hafizh menampilkan aksi menakjubkan dan bersaing sengit dengan Keito Abe, yang beberapa kali cuba memintas.
Dengan catatan masa 24 minit 09.165 saat, Hafizh berjaya memintas garisan penamat di tempat pertama, manakala Abe terpaksa akur di tempat kedua meskipun memberikan tekanan hebat sepanjang perlumbaan.
Sementara itu, rakan senegara, Azroy Hakeem Anuar tidak dapat meneruskan perlumbaan apabila terlibat kemalangan pada awal perlumbaan, lapor RTM.
Pertembungan berkenaan menyebabkan Azroy dan pelumba A1 ENERGY BMW Racing Team, Apiwath Wongthananon terpaksa berundur.
Terdahulu, Perlumbaan 1 Pusingan 2 Kejuaraan Idemitsu FIM Asia Road Racing Championship 2025 menyaksikan Azroy melakar kejayaan cemerlang di Litar Antarabangsa Sepang, lapor Astro Awani.
Dengan catatan masa 2 minit 04.597 saat, Hafizh Syahrin meraih petak kedua manakala di petak ketiga, Azroy menamatkan pusingan kelayakan dengan catatan 2 minit 04.928 saat.
Keputusan penuh perlumbaan tersebut menyaksikan Azroy muncul juara dengan catatan masa 25 minit 22.336 saat diikuti Hafizh Syahrin di tempat kedua dengan masa 25 minit 25.090 saat.
Tempat ketiga pula milik rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi dengan masa 25 minit 25.278 saat.
Manakala, pelumba Jepun, Keito Abe berada di tempat keempat (25 minit 25.758 saat), diikuti pelumba tempatan dari pasukan AMI Suzuki Motorsport, Md Adam Md Norrodin, di tempat kelima (25 minit 33.817 saat).
BACA: Suri Rumah Jana Pendapatan Lumayan Hasil Gubahan Bunga
BACA: Objek Misteri Terbang Di Langit Sarawak Cetus Spekulasi
Sumber: TikTok @kapten_harith, Berita RTM, Astro Awani