Detik Cemas Penyelamat Lakukan CPR Ketika Pemain Ski Diusung, Raih Pujian Ramai
Apabila melakukan aktiviti yang ekstrem dan mencabar, setiap orang perlu bersedia dengan segala kemungkinan. Salah satu aktiviti tersebut ialah luncur ais atau ski ketika musim sejuk.
Jika tidak dikawal dengan sebaiknya, anda berkemungkinan akan terjatuh dan mengalami kecederaan. Lebih-lebih lagi apabila aktiviti tersebut berada di kawasan yang curam.
Detik cemas CPR pemain ski
Baru-baru ini, tular satu video yang menyaksikan detik cemas melibatkan seorang pemain ski yang dipercayai mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti itu.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Gunung Niseko, Hokkaido di Jepun itu memperlihatkan dua orang penyelamat mengangkut pemain itu menuruni bukit dengan menggunakan pengusung.
Dalam keadaan salji tebal, seorang lagi penyelamat mencuri tumpuan kerana melakukan CPR ketika pemain itu diusung.
Pun begitu, tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan mangsa dan punca sebenar kecederaan yang dialaminya.
Aksi penyelamat atau juga dipanggil sebagai peronda ski itu mendapat pujian ramai.
"Ramai orang-orang baik di dunia ini, moga Tuhan merahmati awak semua"
"Semoga mangsa baik-baik sahaja"
"Sebagai seorang jururawat, saya sangat menghormati mereka. Buat CPR dalam keadaan terkawal pun dah cukup sukar, apatah lagi dalam ketika di tempat ski ini. Saya sangat kagum"