Pemandu lori jambatan china runtuh
Gambar: Video tular

Detik Cemas Pemandu Lori ‘Tergantung’ di Jambatan China Selepas Runtuh

Iqbal Yasir

Detik Cemas Pemandu Lori ‘Tergantung’ Di Jambatan China Selepas Runtuh

Sebuah lori tergantung di tepi jambatan yang runtuh selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di Guizhou, barat daya China, pada Selasa.

Tular rakaman di media sosial memaparkan detik seorang saksi cuba membantu pemandu yang terperangkap di dalam kabin lori tersebut.

Video dron yang dikeluarkan oleh media rasmi China menunjukkan kenderaan itu tergantung di atas jurang yang dalam.

Menurut laporan media kerajaan China, kawasan itu telah mengalami hujan lebat luar biasa yang hanya berlaku sekali dalam 30 tahun, mengakibatkan banjir besar di beberapa bandar dan pekan.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa pemandu lori tersebut berjaya diselamatkan oleh pasukan kecemasan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sebelum ini, pihak berkuasa China telah mengeluarkan amaran berkenaan risiko banjir kilat dan arus deras di kawasan pergunungan di bahagian timur, tengah, selatan, dan barat daya negara itu susulan hujan lebat yang melanda beberapa wilayah, lapor CNA.

Amaran tahap merah yang merupakan amaran tahap tertinggi dan pertama bagi tahun ini telah dikeluarkan lewat Khamis (19 Jun), melibatkan kawasan-kawasan di wilayah Anhui, Henan, Hubei, Hunan, Guizhou serta rantau Guangxi, menurut laporan agensi berita rasmi Xinhua yang memetik kenyataan Kementerian Sumber Air dan Pentadbiran Meteorologi China.

China kini sedang mengalami hujan lebat secara tiba-tiba di banyak kawasan, yang menurut ahli meteorologi berpunca daripada perubahan iklim ekstrem.

Di wilayah Hunan, hujan lebat telah mencetuskan banjir paling buruk sejak tahun 1998 di bahagian hulu dan hilir Sungai Lishui selepas paras airnya melebihi tahap bahaya lebih dua meter pada Khamis.

Sementara itu, di bandar perbukitan Chongqing di barat daya China, beberapa blok apartmen ditenggelami air berlumpur, manakala kenderaan pula dihanyutkan oleh arus deras yang mengalir di jalan-jalan, berdasarkan rakaman CCTV dan gambar-gambar.

Sumber: BBC News, CNA

BACA: Risikan AS Dakwa Serangan Tidak Musnahkan Program Nuklear Iran

BACA: Presiden Iran Umum “Perang 12 Hari” Tamat

BACA: Iran Sedia Berunding Dengan AS Berdasarkan Kerangka Antarabangsa – Pezeshkian