
Detik Cemas Nahas Lori Bawa Pelajar Terbalik
Detik cemas berlaku di Kabupaten Gowa, Sulawesi Selatan apabila sebuah lori yang membawa rombongan pelajar sekolah menengah gagal meneruskan perjalanan menaiki jalan berbukit.
Kenderaan itu kemudian meluncur ke belakang sebelum terbalik di kawasan Dusun Bollangi, Desa Timbuseng, Kecamatan Pattallassang, pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan) itu, lori berwarna hitam yang membawa pelajar dari SMP Wahdah Islamiyah dilaporkan hilang kawalan ketika mendaki. Ia kemudiannya meluncur ke belakang dan akhirnya terguling ke bahu jalan.
Menurut rakaman video yang tular di media sosial, lori berkenaan dilihat meluncur ke belakang dengan laju sebelum terbalik ke sisi kiri jalan.
Ketika itu, para pelajar yang berada di bahagian belakang lori menjerit panik dan terjatuh antara satu sama lain ketika kenderaan itu terbalik.
Ketua Unit Trafik Polis Gowa, AKP M. Muaz, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa dua pelajar mengalami kecederaan ringan. Mereka juga telah menerima rawatan di hospital berdekatan.
“Selepas dirawat, kedua-duanya telah dibenarkan pulang,” katanya kepada media tempatan pada Sabtu.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti pemandu lori yang dipercayai meninggalkan tempat kejadian selepas nahas berlaku.
Sementara itu, Bripka Wawan Prasetyo dari Balai Polis Bontomarannu memaklumkan bahawa lori berkenaan membawa rombongan pelajar yang dalam perjalanan untuk lawatan sambil belajar.
Tiada korban jiwa dilaporkan. Namun, kejadian itu mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai keselamatan penggunaan lori sebagai kenderaan rombongan pelajar.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti punca sebenar kejadian, termasuk keadaan jalan berbukit dan aspek keselamatan kenderaan yang digunakan.
BACA: Jet Tentera Laut AS, Helikopter Terhempas Berasingan Di Laut China Selatan