Detik Cemas Kera Selinap Masuk Dalam Rumah, Cuba Angkat Bayi
Tiada siapa yang akan menjangka setiap perkara buruk yang berlaku dalam hidup ini, bahkan wujud kata pepatah ‘malang tidak berbau’.
Sama juga apabila kita berada di dalam rumah, mungkin kita merasakan ia paling selamat untuk seisi keluarga. Bagaimanapun, kadang kala ada bahaya yang tidak terduga datang ‘menyinggah’.
Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan kejadian menimpa seorang bayi di dalam sebuah rumah. Video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @yanarahman1231 itu memaparkan bayi tersebut sedang berada di ruang tamu.
Tidak lama kemudian, dapat dilihat seekor kera menyelinap masuk ke dalam rumah terbabit melalui celahan pintu jeriji.
Lebih menakutkan, kera itu dilihat menghampiri bayi terbabit dan cuba untuk mengangkatnya, namun tidak berjaya. Kera itu juga telah melarikan diri selepas disergah oleh pemilik rumah, yang juga nenek kepada bayi terbabit.
Ketika dihubungi, pemilik akaun TikTok itu berkata kejadian yang menimpa cucunya itu berlaku dua tahun lalu.
Menurutnya, cucunya yang kini berusia 3 tahun lebih berada dalam keadaan yang baik. Pun begitu, dia sendiri masih trauma selepas kejadian terbabit.
“Pintu sliding buka, grill tutup dan berkunci, monyet lalu ikut celah-celah itu,” katanya mengulas semula detik kejadian terbabit.
Apabila ditanya mengenai kera terbabit, dia berkata kera itu lari begitu saja dan tidak dapat dikesan.
“Saya halau je, lepas itu tak tahu dia lari ke mana,” katanya
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tertanya-tanya sama ada kawasan rumahnya sememangnya dipenuhi haiwan itu.
Namun, Yana menjelaskan bahawa kawasan perumahannya tidak ada banyak kera dan kadang kala mungkin ada yang tersesat.
Video terbabit kini mendapat lebih 4 juta tontonan di TikTok dan dihujani pelbagai komen terutama yang risau dengan keadaan bayi terbabit.
“Mujur dia tak cakar atau gigi, aku takut betul binatang ni,” kata seorang netizen.
“Pasang jaring kat pagar pintu tu, rumah saya pun pasang jaring sebab taknak bagi kucing dan binatang-binatang lain masuk,” kata seorang lagi netizen.
Sumber: yanarahman1231