
Derbi Barat Laut: Antara ‘Glazers Out’, Hantukan Nunez & Tiga Mata Pertama
Awal pagi esok bakal berlangsung satu perlawanan paling dinanti setiap musim Liga Perdana Inggeris. Pertembungan yang menemukan dua kelab gergasi dari dua bandar yang berbeza. Pernah mencatat tontonan sehingga 700 juta dari seluruh dunia pada tahun 2015. Ya, inilah pertembungan barat laut antara Manchester United dan Liverpool.

Perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada jam 3 pagi (Selasa) waktu tempatan. Ketika Arsenal sedang merajai carta liga, tersungkurnya Chelsea di tangan Leeds dan juara bertahan Manchester City juga nyaris tewas dalam ‘Pertembungan Petrol Arab’, perlawanan United dan Liverpool tetap menjadi tumpuan walau peminat di Malaysia terpaksa bersengkang mata.
United bakal turun dengan serba kekurangan dalam perlawanan yang bakal berlangsung di Old Trafford. Hal ini kerana, Manchester United belum mencatat sebarang kemenangan selepas dua perlawanan malah dibelasah Brighton pada perlawanan kedua musim ini. Memburukkan keadaan, ada desas-desus mengatakan peminat United akan memboikot perlawanan ini dan membiarkan stadium kosong.
Laungan ‘Glazer Out’ dari dalam stadium dalam perlawanan sebelum ini dan secara maya terus kedengaran dikala prestasi United masih ditahap ‘lemah’. Namun, kepedihan yang dialami penyokong mungkin sedikit terubat apabila Manchester United dijangka memperkenalkan pemain baharu yang dibawa masuk dari Real Madrid iaitu Casemiro.


Walaupun ada peminat yang masih yakin United bakal bangkit pada musim ini, namun pengurusnya Eric Ten Hag adalah individu yang paling tertekan buat waktu ini. Tinggalkan Liga Belanda dan bersetuju untuk menerima segala bebanan di kem United mungkin ujian hidup paling besar yang pernah ‘diangkat’ Ten Hag seumur hidupnya.

Moyes, Van Gaal, Mourinho dan Ole Gunnar Solksjaer pun tak terdaya membawa beban United ini dan hanya kekal untuk seketika sahaja. Kini, giliran Ten Hag yang nampak yakin ketika pra musim dan siap mebelasah Liverpool di tanah Siam namun tak diterjemahkan keyakinan itu pada dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris.
Aksi kurang meyakinkan ketika pra musim dan begitulah yang ditampilkan oleh skuad Jurgen Klopp apabila hanya sekadar mengutip dua mata dari dua perlawanan pertama liga. Klopp sendiri tidak berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan dalam satu kenyataan Klopp mengatakan pemain tidak bermain seperti yang dimahukannya.

Liverpool juga turut dihimpit masalah kecederaan yang menimpa beberapa pemain tunjang seperti Firmino, Matip, Thiago dan Jota. Kecederaan ini juga menyumbang kepada kemerosotan prestasi Liverpool ketika ini. Bagai jatuh ditimpa tangga, penyerang muda Liverpool, Darwin Nunez pula dilayangkan kad merah dan digantung 3 perlawanan selepas menghantuk muka pemain Crystal Palace bagaikan Zidan menghantuk dada Materazzi.

Kecederaan, prestasi merosot sudah terang lagi bersuluh yang pasukan Liverpool tidak berada pada kondisi ‘sihat’ untuk bertemu seteru sepanjang zamannya itu pada awal pagi esok. Liverpool hanya boleh mengharapkan magis pemain-pemain yang sedia ada dalam mencari 3 mata pertama musim ini.
Apa yang akan merancakkan perlawanan awal pagi ini adalah kedua-dua pasukan memburu kemenangan pertama musim ini. Penyokong kedua-dua kelab sudah pasti mahu menuntut pasukan kesayangan mereka menampilkan persembahan terbaik bagi mengakhiri derita dua perlawanan pertama. Jika Liverpool tewas, Klopp dan pemain akan terus tertekan dengan status sebagai pencabar musim lepas akan terus tergugat.
Jika Manchester United pula yang tewas, ini bakal memburukkan situasi di Old Trafford dan kedudukan Keluarga Glazer dan pengurus Eric Ten Hag bakal digoncang penyokong setia United. Perlawanan seterusnya di Old Trafford, United sudah perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan dari penyokong mereka jika mereka gagal mendapatkan tiga mata pada awal pagi esok. Kalah dan seri bukan jawapan yang penyokong mahukan.
