demo indonesia perhentian bas
Kredit: Video Tular/ Warta Kota

Demo Indonesia: Perhentian Bas, Pondok Polis & Tujuh Plaza Tol Dibakar

Sofea

Demo Indonesia: Perhentian Bas, Pondok Polis & Tujuh Plaza Tol Dibakar

Demonstrasi yang berlangsung di Jakarta menyaksikan tujuh plaza tol telah dibakar orang ramai dan kemudahan di beberapa tol lain turut mengalami kerosakan, lapor Detik News.

Pengurus Besar Kanan Jasa Marga, Widiyatmiko berkata tujuh tol yang dibakar ialah di Slipi 1, Slipi 2, Pejompongan, Senayan, Semanggi 1, Semanggi 2 dan Kuningan 1.

“Selain itu, kemudahan perkhidmatan jalan tol lain turut dirosakkan orang ramai iaitu lebih 20 unit water barrier, kon getah, Median Concrete Barrier (MCB), CCTV tol dan kemudahan lain,” katanya.

Insiden itu mengakibatkan penutupan jalan tol dalam bandar termasuk tol Cawang-Tomang-Pluit yang masih ditutup buat sementara waktu.

“Sehingga jam 8.05 pagi tadi, tol Cawang-Tomang-Pluit masih belum pulih sepenuhnya terutama tanjakan laluan di gerbang tol yang terbakar.

“Jasa Marga masih mengerahkan pegawai untuk membersihkan kawasan tersebut bagi memastikan jalan utama selamat untuk dilalui pengguna jalan raya,” katanya.

BACA JUGA: Demo Indonesia: Pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Makassar Dibakar, 3 Maut

Syarikat pengendali tol itu juga menyatakan rasa kesal di atas perbuatan vandalisme yang berlaku ketika demonstrasi. Pihaknya turut memohon maaf kepada pengguna jalan raya atas kesulitan dan gangguan yang terjadi.

Sementara itu, Wartakota melaporkan perhentian bas di Jakarta turut dibakar dan lima pintu masuk MRT Istora Mandiri juga musnah serta menjadi sasaran perusuh.

Kredit: Wartakota

Malah, tingkap-tingkap dipecahkan dan dinding diconteng dengan kata-kata lucah.

Susulan itu, stesen MRT terbabit ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja pembersihan.

Di samping itu, pondok polis di Slipi juga hangus terbakar sehingga tidak menampakkan rupa bentuk asalnya.

Kredit: wartakota

Terdahulu, pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Kota Makassar juga hangus dijilat api selepas ia dibakar oleh penunjuk perasaan. Sekurang-kurangnya, tiga kakitangan dilaporkan maut dan lima mengalami kecederaan parah akibat kejadian terbabit.

“Seramai lapan orang dipindahkan pasukan penyelamat selepas kebakaran Pejabat DPRD Kota Makassar, tiga daripadanya disahkan meninggal dunia disyaki terperangkap di dalam bilik ketika kebakaran berlaku,” kata Pemangku Ketua BPBD Kota Makassar, M Fadli, di Makassar, Sulawesi Selatan, awal pagi Sabtu.

Sumber: Detik News, Wartakota