Demi Rai Dr Zulkifli, Ayah Sanggup Segerakan Nikah Anak
Seorang bapa sanggup mempercepatkan majlis pernikahan anaknya seminggu awal dan memilih untuk melaksanakan dengan ringkas kerana mahu hari bersejarah itu diraikan bersama sahabatnya.
Demikianlah kisah benar yang dialami mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa beliau bertemu sahabat karibnya, Syeikh Moustafa Ahmed Bish di Tokat, Turkiye baru-baru ini.
Menceritakan kembali, beliau berkata Syeikh Moustafa memaklumkan anak perempuan bongsunya, Lubabah bakal berkahwin pada minggu hadapan dan memintanya supaya menetap lebih lama di negara itu.
Jelasnya, Syeikh Moustafa mahu hari gembira itu diraikan bersama-sama memandangkan beliau berada di Turkiye, selain menghargai jalinan persahabatan yang terbentuk sejak bertahun lamanya.
Disebabkan itu, sahabatnya meminta supaya Dr Zulkifli menangguhkan kepulangannya ke Malaysia.
“Sahabatku, anak perempuanku bakal berkahwin pada minggu hadapan. Bolehlah engkau tangguhkan sebentar kepulangan ke Malaysia, duduk bersama kami, untuk meraikan hari bersejarahnya nanti?” tanya Syeikh Moustafa.
Bagaimanapun, jadual yang padat membuatkan Dr Zulkifli terpaksa menolak pelawaannya untuk tinggal lebih lama di negara itu.
Pun begitu, beliau mencadangkan supaya majlis pernikahan diadakan pada keesokan harinya.
“Jadualku di Malaysia agak padat. Memang susah untukku tinggal lebih lama di sini. Aku cadangkan, majlis akad nikah dibuat esok,” jawabnya.
Setelah berbincang dengan keluarga, Syeikh Moustafa bersetuju dengan cadangan Dr Zulkifli dan akhirnya majlis pernikahan itu berjalan dengan penuh ringkas serta sederhana tetapi amat barakah.
“Dengan akad sebahagian mahar didahulukan dan sebahagian lagi ditangguhkan, maka termeterailah ikatan antara dua mempelai; Ahmad Yunus dan Lubabah.
“Jamuan dihidangkan di dalam sebuah bilik kecil yang memuatkan lebih kurang 10 orang tetamu,” ujarnya pada Isnin di platform X.
Kredit: @drzul_albakri/XMenurut Dr Zulkifli, itulah saat yang paling indah dan berbaloi sepanjang perjalanan sejauh hampir 8,000 kilometer yang ditempuhinya dari Kuala Lumpur.
Beliau sempat berpesan kepada pengantin lelaki untuk bertakwa kepada Allah dan berusaha menjadi ketua keluarga yang mampu membawa isteri dan anak-anak ke syurga.
“Majlis perkahwinan itu hanya sehari dua, namun apa yang lebih utama adalah ‘bekal’ untuk dibawa hingga ke hujung nyawa.
“Tahniah Ahmad Yunus dan Lubabah,” tambahnya.
Difahamkan juga, Syeikh Moustafa adalah sahabat karib Dr Zulkifli di Syria dan telah terpisah sejak lebih 28 tahun lalu.
“Ketiga-tiga orang anak lelakinya syahid dalam peperangan. Baki yang ada, anak perempuannya di Idlib bersama suami, anak bongsu perempuan (Lubabah) dan anak lelakinya (Zulkifli) yang tinggal bersamanya.
“Beliau hidup susah, namun hatinya amat baik,” katanya.
Selepas peperangan di Syria pada tahun 2013, Syeikh Moustafa sekeluarga berpindah ke Tokat, Turkiye.
Sumber: @drzul_albakri/X