PETALING JAYA, 2 Sept – ‘Demi integriti’. Itu frasa boleh disimpulkan berikutan cubaan rasuah oleh warga asing yang ditolak sepasukan anggota kereta peronda polis, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian tersebut berlaku ketika satu rondaan cegah jenayah Aberdeen dijalankan oleh anggota kereta peronda polis (MPV) di Jalan Teknologi 3/1 Kota Damansara, Ahad lalu.
Jelas Nik Ezanee, sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan dikesan pasukan rondaan tersebut, sebelum ia memecut laju sehingga berjaya ditahan di hujung lorong Teknologi C.
“Pihak polis membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek dan didapati mereka gagal mengemukakan lesen memandu serta dokumen perjalanan yang sah.
“Dalam masa sama, salah seorang suspek cuba menawarkan wang tunai sebanyak RM500 dan jika tidak cukup, boleh menambahkannya lagi kepada pihak polis bagi melepaskan diri daripada ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kejadian tolak cubaan rasuah tersebut melibatkan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Koperal Mohamad Gaddafi Abd Manaf, Koperal Khairul Izham Harun, Konstabel Wan Mohd Hanif Wan Abd Aziz dan seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Prebet Muhammad Najmi Amat Samsudin.
Sehubungan itu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 29 dan 46 tahun itu telah ditahan reman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
“Suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak leboh 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan,” tambah kenyataan itu lagi.
Turut dirampas adalah sebuah Proton Wira yang dinaiki kedua-dua suspek terbabit bagi siasatan lanjut.




Sumber: Polis Daerah Petaling Jaya