DBKL berasa kesal terhadap tindakan vandalisme seorang remaja yang tekan butang berhenti kecemasan eskalator tanpa sebab sampai tergendala operasinya.
Vandalisme merupakan perbuatan merosakkan harta benda awam yang bukannya milik kita sendiri. Sikap tidak bermoral ini akan menyusahkan banyak pihak lain untuk menggunakan pelbagai kemudahan awam.
Baru-baru ini, tular satu video menerusi sebuah rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang remaja melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah jejantas.
Pada awalnya, dia yang dilihat turun menggunakan tangga terus meluru ke eskalator di sebelah dan menekan butang berhenti kecemasannya dipercayai tanpa sebab.
Mungkin remaja itu menyangka perbuatannya tidak dilihat sesiapa, namun dia silap bahawa tindakannya itu sudah direkodkan CCTV hingga sampai ke pengetahuan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sehubungan itu, DBKL amat berasa kesal dan memandang serius akan perilaku remaja terbabit. Untuk maklumat lebih lanjut, mari ikuti video dan info yang dikongsikan di Facebook DBKL ini.
Tindakan vandalisme
Min terima rakaman video dari sahabat min mengenai tindakan seorang remaja yang menekan butang berhenti kecemasan pada eskalator Sri Rampai menyebabkan operasi eskalator berkenaan tergendala. Eskalator ini baru sahaja dibaiki dan diaktifkan semula untuk kemudahan orang ramai.
Min tak pasti apa niat sebenar remaja ni tetapi apa yang beliau lakukan ni dikategorikan sebagai perbuatan vandalisme.
Butang kecemasan hanya digunakan pada saat-saat genting dan salah guna butang tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada eskalator dan akhirnya menimbulkan kesulitan kepada pengguna lain.
Min harap kita sama-samalah menghargai kemudahan awam yang disediakan.
#KLBandarUntukSemua
#SayangiKualaLumpur
#cegahvandalisme
Perkara itu turut mendapat reaksi warganet dengan tindakan kurang moral oleh remaja terbabit dan meluahkan rasa kecewa terhadap perbuatan vandalisme itu.
“Tak payah ditutup muka dia tu Min Dewan Bandaraya Kuala Lumpur . Supaya beri pengajaran sekali viral. Lainlah kalau dia tak sengaja,” kata warganet bernama Noor Fazlina Rosley.
“Usah blurkan mukanya. Tayang besar-besar biar ibu bapanya sedar perbuatan anaknya,” kata Will Chin.
Sumber: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur