Datuk Bandar Taipei Diserbu Penunjuk Perasaan Ketika Berucap
TAIPEI — Majlis memperingati ulang tahun ke-76 Pembunuhan Beramai- ramai 228 di Taman Keamanan 228, Taipei yang dihadiri oleh Datuk Bandar Taipei, Chiang Wan-an bertukar kecoh hari ini apabila ia diserbu oleh penunjuk perasaan.
Memetik Taiwan News, beliau yang merupakan generasi keempat keluarga Chiang menarik perhatian ramai sewaktu ketibaannya di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, sekumpulan penunjuk perasaan cuba membantah kenyataan yang dibuat oleh Chiang sewaktu memberikan ucapan. Insiden itu menyebabkan majlis terpaksa dihentikan seketika kira-kira 10 minit sebelum diteruskan semula.
Maklum Datuk Bandar itu, dia sebagai pemimpin bandar tersebut menzahirkan kekesalan terhadap tragedi 228 yang berlaku pada 76 tahun lalu di Dadaocheng, Taipei City.
Difahamkan, insiden itu tercetus disebabkan rampasan rokok seludup yang mendorong pembunuhan beramai-ramai termasuk orang awam.
Tambah Chiang, beliau menyifatkan insiden itu sebagai amaran kepada mereka yang mempunyai kuasa.
“Tujuan tadbir urus adalah untuk menjaga hak asasi manusia. Dengan Taiwan menuju ke arah kemajuan daripada sistem autoritarianisme kepada demokrasi.
“Ia adalah pencapaian luar biasa untuk negara ini,” katanya.
Maklum Chiang, dia akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kebenaran tentang tragedi itu. Ia bagi memberikan sokongan moral dan semangat kepada ahli keluarga mangsa untuk kembali meneruskan kehidupan.
Walau bagaimanapun, penglibatan datuk bandar Taipei itu menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan kumpulan kemerdekaan pro-Taiwan.
Untuk makluman, Bandaraya Taipei menjadi saksi kepada detik hitam dalam sejarah negara itu. Manakala Bandar Tainan buat pertama kali telah dipilih sebagai lokasi rasmi sempena memperingati Pembunuhan Beramai-ramai 228.
Terdahulu, Chiang Wan-an dilaporkan telah berkunjung ke Muzium Memorial Taipei 228 pada minggu lalu (21 Februari). Menurut UDN, lawatan tersebut bagi mengunjungi ahli keluarga mangsa dan wakil yang terlibat dalam insiden 228.
Tambahan lagi, Datuk Bandar Kuomintang sebelum ini mempersoalkan tanggungjawab moyangnya, Chiang Kai-shek yang merupakan bekas Presiden Taiwan sewaktu insiden itu berlaku.
Jelas pemimpin itu lagi, kerajaan perlu membuktikan kebenaran dalam pembunuhan beramai-ramai itu.
Sumber: Taiwan News