Pihak berkuasa di sebuah bandar di negara Colombia dilaporkan telah memerintahkan penduduknya yang menolak vaksin COVID-19 untuk tidak keluar daripada rumah atau bakal dikenakan denda serta penjara, lapor portal France 24.
“Kita harus mengambil langkah yang tegas sebagai pemimpin… Setiap orang harus diberi vaksin, jika tidak, mereka tidak boleh keluar rumah dan bergaul dengan penduduk lain di Sucre,” kata Datuk Bandar Sucre, Elvira Julia Mercado.
Beliau telah memutuskan bahawa perintah kekal berada di rumah itu dilaksanakan selama lapan hari, untuk orang yang belum divaksin walaupun bandar itu memiliki dos yang mencukupi untuk mengimunasisi semua 28,000 penduduknya.
Setakat ini, hanya 10,000 orang sahaja yang dilaporkan telah divaksinasi, kata Mercado sambil menyalahkan berita palsu.
“Ada sesetengah golongan yang kuat agama menolak vaksin, manakala orang muda pula menolak vaksin kerana diberitahu tidak boleh keluar minum dan baki yang lain pula memberitahu mereka akan mati dalam dua tahun, serta ada juga yang mendakwa bahawa vaksin itu adalah agenda dajal,” katanya.
Di bawah perintah itu, orang yang menolak vaksin hanya dibenarkan keluar daripada rumah untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan atau mendapatkan suntikan sahaja.
Semua penduduk di bandar itu dilaporkan perlu menunjukkan kad vaksinasi untuk mengakses pasar raya, bar, disko, restoran, bank serta kedai.
Mereka yang tidak menurut arahan itu bakal berhadapan dengan denda sehingga AS$260 (RM1,098), dan individu yang melakukan kesalahan berulang boleh dikenakan hukuman penjara.
Langkah itu akan dikaji dalam masa lapan hari, berdasarkan keadaan wabak ketika ini.
Dengan 50 juta penduduk, Colombia adalah negara Amerika Latin dengan kadar kematian per kapita terbayak ketiga selepas Peru dan Brazil dengan hampir lima juta jangkitan yang disahkan dan 121,000 kematian dilaporkan.
Sebanyak 12.2 juta orang telah divaksinasi sepenuhnya.
Bandar Sucre adalah bandar pertama di negara itu yang bertindak menentang penolakan vaksin, tetapi Menteri Kesihatan, Fernando Ruiz telah memperingatkan langkah serupa di tempat lain.
Sumber: France 24