
DASH Mula Proses Penghitaman Penanda Lorong
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) — Syarikat konsesi Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah mula melakukan proses ‘blackening’ atau penghitaman sejak malam tadi susulan kemalangan melibatkan dua kenderaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini berikutan kemalangan itu dikatakan berpunca daripada kekeliruan pemandu dengan pertindihan dua penanda lorong.
“Saya telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan dan berdasarkan laporan awal yang diterima daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan DASH, kawasan yang perlu ditambah baik melalui proses penghitaman telah pun dikenal pasti oleh pihak DASH sebelum Tahun Baharu Cina lagi.
“DASH juga telah mula melakukan proses penghitaman bermula malam semalam dan akan melihat secara keseluruhan kadar penghitaman yang diperlukan. Semua proses itu dijangka siap dalam tempoh tiga malam,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Katanya pihak LLM, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan DASH juga akan menilai semula keadaan di lokasi kejadian di PLUS NKVE, terutama penanda lorong kuning dan putih, supaya lebih teratur, jelas dan selamat untuk dilalui.
Nanta berkata perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya.
“Pada masa sama, saya juga menyeru semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu. Keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Beliau turut berkongsi video kemalangan itu yang berlaku antara Toyota Veloz dan Innova bertarikh 23 Jan 2023 di laman sosialnya.
— BERNAMA
Sumber: Bernama