Daripada 13,000,894 dos penggalak yang diberikan, hanya 1,104 kes laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) sahaja yang direkodkan setakat ini.
Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, angka tersebut adalah bersamaan dengan kadar 85 laporan bagi setiap sejuta dos dan ia adalah rendah.
“Ini adalah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI iaitu sebanyak 386 bagi setiap sejuta dos.
“Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 80 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 6 laporan bagi setiap sejuta dos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah Roshayati, majoriti atau 93 peratus daripada kes AEFI yang telah dilaporkan baru-baru ini adalah tidak serius.
“Demam. sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot, dan keletihan merupakan kesan yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin,” katanya.
Bagaimanapun kesan-kesan yang dinyatakan tersebut akan pulih dalam masa hanya satu hingga dua hari sahaja.
Sumber: KKM