
Dari Wuhan Ke Dunia: Bagaimana Satu Kes COVID-19 Mengubah Segalanya
COVID-19 merupakan salah satu pandemik paling teruk dalam sejarah moden yang telah menyebabkan jutaan individu di seluruh dunia kehilangan nyawa.
Virus ini bukan sahaja memberi kesan besar kepada kesihatan manusia, malah mengubah corak kehidupan, ekonomi dan interaksi sosial secara drastik.
Sejak ia mula dikesan, usaha global dalam bentuk vaksinasi, penjarakan sosial dan langkah pencegahan lain telah dilaksanakan untuk mengekang penyebaran penyakit ini, namun impaknya masih dirasai di pelbagai negara hingga kini.
Public Health Malaysia baru-baru ini berkongsi sejarah awal bagaimana kes pertama COVID-19 bermula sebagai satu titik kecil yang perlahan-lahan merebak dan mengubah dunia secara drastik.
Daripada satu kes ke seluruh dunia
Enam tahun lalu, di sebuah bandar bernama Wuhan, seorang lelaki mula rasa tak sedap badan. Mungkin pada dia cuma demam biasa.
Tapi hari itulah yang kemudian direkodkan sebagai kes pertama COVID-19, satu titik kecil yang perlahan perlahan mengubah dunia dan hidup kita semua.
Beberapa minggu selepas itu, doktor di Wuhan mula perasan lebih ramai pesakit datang dengan radang paru paru yang pelik.
Ramai ada kaitan dengan sebuah pasar yang sibuk. Masa orang masih sesak di tren, sibuk ke tempat kerja dan merancang sambutan Tahun Baru Cina, virus ini sudah menumpang dalam setiap batuk, dalam kereta api, dalam kapal terbang yang turun naik di seluruh dunia.
Dalam diam, satu kluster di satu bandar bertukar menjadi pandemik.
Nama Wuhan mungkin jauh di peta, tetapi gelombang dari sana akhirnya sampai juga ke kampung paling hujung di Malaysia.
Kita pernah lalui PKP, sekolah ditutup, klinik dan hospital penuh, perniagaan gulung tikar. Ada yang kehilangan ibu bapa, pasangan, adik beradik.
Ada yang sampai hari ini masih sesak nafas bila naik tangga, masih menyusun semula kewangan dan hidup walaupun berita tentang COVID-19 sudah makin jarang kedengaran
Bila kita imbas semula kisah index case di Wuhan, untuk ingat betapa cepat sistem kesihatan dan ekonomi boleh goyah bila muncul virus baharu.
Kalau ada satu benda yang patut kekal selepas pandemik, bukan rasa takut, tapi rasa bertanggungjawab.
Jaga diri bila sakit, hormati orang sekeliling, dan jangan ulang perangai “buat tak tahu” bila ada tanda jangkitan. Itulah cara paling senyap kita belajar daripada sejarah, tanpa perlu tunggu satu lagi virus baharu muncul sebelum kita berubah.
