
Dari Tak Dikenali Hingga Jadi Fenomena Di Thailand, Ini Kisah Pasukan Bola Monthongwitaya
Siapa kata pasukan kecil tidak mampu bersinar hingga dikenali ramai? Walaupun kadang kala sukar untuk menonjol, namun kegigihan dan semangat yang tidak pernah gentar akan membuahkan hasil.
Seperti pasukan bola sepak di sebuah sekolah di Thailand ini yang menjadi tular di negara itu.
Pasukan bola sepak sekolah Monthongwitaya itu dikenali sebagai pasukan underdog dari wilayah Chachoengsao. Kisah mereka menjadi sensasi di seluruh Thailand selepas perjalanan mereka ke pertandingan bola sepak pelajar kebangsaan dengan menaiki kenderaan dipanggil ‘pengangkutan impian’ sentuh hati ramai.
Menurut The Nation, trak empat roda lama itu melambangkan keazaman dan kerja keras mereka.
Trak itu mungkin kelihatan biasa bagi kebanyakan orang, tetapi bagi pasukan Monthongwitaya, ia mewakili simbol harapan yang kuat.
Apabila Monthongwitaya mara ke separuh akhir, pihak berkuasa wilayah Chachoengsao bas VIP untuk pasukan itu pergi ke Stadium Supachalasai di Bangkok.
Bagaimanapun, pemain dan jurulatih berkeras untuk menggunakan trak itu bagi mengekalkan semangat pasukan dan menjadikan trak itu sebagai simbol keazaman yang tidak berbelah bahagi.
Hasilnya, mereka berjaya mengatasi Assumption Sriracha dengan mata 6-3, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan akhir buat kali pertama dalam sejarah sekolah.
Perlawanan akhir pada 8 November lalu memperlihatkan segala penat lelah mereka terbayar apabila lebih 20,000 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada mereka. Dengan jutaan penonton dalam talian, boleh dikatakan bahawa seluruh Thailand tertumpu kepada perlawanan tersebut.
Sambutan yang tidak terjangka itu mengejutkan penganjur. Manakan tidak, para penonton memenuhi stadium itu sehingga ke luar stadium.

Ia menyamai sambutan ramai bagi perlawanan Piala Raja Thailand, menentang Korea Selatan pada 1993.
Walaupun tewas 2-1 kepada pasukan Chai Nat PAO, orang ramai masih berbangga dengan mereka.
Bermula sebagai pasukan yang tidak dikenali dari sebuah bandar kecil, Monthongwitaya mendapat sokongan yang luar biasa, melebihi semua jangkaan.
Menerusi beberapa video yang tular, orang ramai dilihat memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan dan memberi sokongan kepada mereka.
Sebelum itu, mereka berjaya mengatasi beberapa pasukan pilihan peringkat kebangsaan, termasuk menewaskan bekas juara, Sekolah Thepsirin dalam peringkat suku akhir dengan mata 7-6.
Untuk pengetahuan, sekolah Monthongwitaya yang terletak di Daerah Bang Nam Priao memberi tumpuan kepada penerapan nilai pendidikan dan moral asas dalam diri pelajar.
Dengan falsafah ‘belajar dari buaian hingga ke liang lahad’, ia membentuk pasukan bola sepak itu menjadi pemain yang tabah dan berkemahiran dengan hati yang cukup kuat untuk berjuang.

Pada asalnya, ia merupakan sekolah swasta yang berada di bawah Yayasan Islamic Chachoengsao Witaya dan kemudiannya dipindahkan ke Kementerian Pendidikan sebagai sekolah awam pada 1 Februari 1986.
Sekolah itu dibuka sebagai sebuah sekolah campuran dan pada mulanya menerima 260 pelajar. Ia menawarkan pendidikan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Hari ini, sekolah tersebut terus berkembang dengan menawarkan pendidikan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 serta mempunyai 15 bilik darjah.
Kejayaan pasukan ini juga boleh dikreditkan kepada jurulatih Sakol Kleangprasert, yang berpengalaman dan mendedikasikan hidupnya untuk bola sepak pelajar di Thailand.
Dengan pengalaman lebih 40 tahun, perjalanan Sakol bermula di Sekolah Thepsirin, di mana beliau memupuk budaya bola sepak yang kuat dan membimbing pasukan bola sepak Sekolah Surasakmontree ke pusingan akhir Piala Juara 7HD selama lima tahun berturut-turut dan menang sebanyak tiga kali.
Selepas berkhidmat di Surasakmontree selama 17 tahun, Sakol bersara tetapi memilih untuk membantu pemain muda di Sekolah Rajaprachasamakhom 46 di Chai Nat sebelum berpindah ke Monthongwitaya.

Kini, permata terbaharu yang telah dibentuk oleh Sakol ialah pemain tengah, Warakorn Changkhiendee, yang membawa pasukan itu meraih kemenangan menentang Assumption Sriracha.
Warakorn pula pernah menjadi remaja yang bermasalah dan tidak mempunyai disiplin. Namun, bakatnya berjaya dicungkil sepenuhnya oleh Sakol.
Jurulatih itu percaya bahawa untuk mencipta pemain bola sepak yang baik, dia perlu mencipta orang yang baik terlebih dahulu.
Dia telah memilih dan melatih pemain ini secara peribadi, memberi tumpuan kepada asas, teknik, disiplin dan kemahiran hidup.
Kebanyakan ahli pasukan itu juga berumur 16 tahun dan ada beberapa di antara mereka yang sebelum ini telah ditolak oleh pasukan lain.
Proses itu dianggap Sakol sebagai ‘mengambil kaca pecah dan mencairkannya menjadi kepingan kaca baharu’.
Hari ini, pasukan bola sepak Monthongwitaya bukan sahaja mencipta nama tetapi juga memberi inspirasi kepada belia di seluruh Thailand. Mereka membuktikan bahawa sekolah kecil juga boleh mencapai hingga ke peringkat akhir pertandingan besar.
Sumber: The National,