
redBus, platform tempahan tiket bas terbesar di dunia dan di Malaysia, telah melancarkan redBus Malaysia Food Map satu panduan penerokaan yang menggabungkan kegemaran rakyat Malaysia terhadap makanan dan pelancongan. Menampilkan 40 hidangan Malaysia yang popular dan menyelerakan dari seluruh negara, platform ini membantu para pengembara menemui hidangan-hidangan yang tidak boleh dilepaskan dan mencerminkan kepelbagaian budaya negara.
Peta ini memaparkan warisan kulinari yang meluas daripada pengaruh Melayu, Cina, India dan Peranakan, hinggalah kepada warisan masyarakat bumiputera dan lain-lain merentasi lebih 160 tempat makan.
Sebagai sebuah negara yang terkenal sebagai pusat kepelbagaian kulinari, landskap makanan Malaysia menawarkan segalanya daripada lokasi makanan jalanan ikonik hinggalah tempat menarik yang jarang diketahui di pekan-pekan kecil dan redBus Malaysia Food Map meletakkan semuanya di hujung jari para pengembara.
Dengan pelancongan berdasarkan makanan semakin mendapat perhatian, perbelanjaan pelancong di Malaysia meningkat sebanyak 43% pada tahun 2024 berbanding 2023, dengan makanan dan minuman muncul sebagai salah satu daripada tiga kategori perbelanjaan tertinggi mencatatkan pertumbuhan sebanyak 52%. Seiring dengan perkembangan ini, redBus melangkah lebih jauh daripada sekadar menjadi platform tempahan, kini berperanan sebagai jambatan budaya yang memperkaya pengalaman pelancongan dengan memperkenalkan cita rasa yang membentuk identiti perjalanan di Malaysia.
redBus Malaysia Food Map boleh diakses melalui aplikasi redBus serta laman mikro, yang kini tersedia dalam Bahasa Inggeris dan akan turut disediakan dalam Bahasa Malaysia menjelang suku tahun ini. Platform ini menawarkan pengalaman yang intuitif dan interaktif, membolehkan pengguna meneroka hidangan popular Malaysia serta lokasi tempat makan tempatan untuk menikmatinya. redBus Malaysia Food Map menampilkan senarai makanan yang dikurasi, dan para pengembara turut digalakkan untuk berkongsi cadangan makanan mereka sendiri melalui laman mikro tersedia dan saluran media sosial redBus.

Bagi mengumpul maklumat tentang lokasi makanan menarik yang kurang dikenali, redBus akan menjalankan aktiviti di media sosial dengan menjemput para pencinta makanan untuk menyumbang kepada Food Map tersebut. Nama penyumbang akan dipaparkan di dalam peta sebagai pengiktirafan terhadap pengetahuan mereka, sambil memberi peluang untuk mereka berkongsi pandangan dan cadangan di platform ini.
redBus juga akan menawarkan diskaun istimewa di bandar-bandar yang dipilih serta menggalakkan perjalanan ke empat bandar berbeza setiap bulan, sekali gus merancakkan pelancongan berfokuskan makanan. Pelancong yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Food Map ini melalui saluran media sosial redBus termasuk Instagram, TikTok dan YouTube.
Ciri-Ciri Utama redBus Food Map:
Senarai Makanan yang Luas – Pilihan hidangan Malaysia yang popular serta lokasi seperti restoran, gerai dan kafe terpilih di mana ia boleh dinikmati.
Maklumat Hasil Sumbangan Pengguna – Pengguna boleh memberikan cadangan dan saranan, sekali gus membantu berkongsi lokasi makanan menarik yang kurang dikenali untuk diterokai oleh semua.
Peta Masa Nyata – Peta dinamik yang sentiasa dikemas kini untuk menampilkan lokasi tular terkini, lengkap dengan arah untuk ke destinasi tersebut.
Diskaun Eksklusif redBus – Diskaun istimewa untuk tiket bas bagi menggalakkan rakyat Malaysia mengunjungi destinasi makanan yang tersenarai.
Prakash Sangam, Ketua Pegawai Eksekutif redBus berkata “Dengan pelancaran Malaysia Food Map, redBus dapat mempertingkatkan pengalaman pelanggan, daripada perkhidmatan praktikal kepada peranan yang lebih mendalam dan bermakna dalam penerokaan serta perancangan perjalanan mereka. Makanan mencerminkan budaya sesuatu masyarakat, dan pelancaran redBus Malaysia Food Map merupakan penghargaan kami terhadap sejarah kaya negara ini serta semangat rakyat Malaysia dalam meneroka dan mengikuti trend makanan.
Matlamat kami adalah untuk sentiasa memudahkan dan memperkayak pengalaman perjalanan. Kami teruja untuk menghubungkan orang ramai dengan pelbagai cita rasa hebat yang ditawarkan oleh Malaysia, dengan cara yang menyeronokkan dan mudah diakses.”
Inisiatif ini menyokong matlamat kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan datang, dan memperkukuh peranan redBus dalam ekosistem pelancongan negara. Pelancaran ini hadir seiring dengan pertumbuhan pesat pelancongan berasaskan makanan di Malaysia, apabila semakin ramai pelancong tempatan dan antarabangsa mencari pengalaman kulinari yang asli.
redBus Malaysia Food Map dijangka menjadi teman setia penggemar makanan yang ingin meneroka segalanya daripada makanan jalanan lagenda sehinggalah ke lokasi makan terkini yang sedang hangat. Mula terokai keunikan dunia makanan Malaysia hari ini melalui aplikasi redBus atau laman mikro di www.redbus.my/foodmap.