
Dari Kelantan Ke Denmark, Lagu ‘Cicak’ Jadi Fenomena
Lagu sering dianggap sebagai salah satu medium paling berkesan untuk mempelajari sesuatu bahasa.
Setiap lagu mempunyai potensi untuk menarik peminatnya sendiri. Gabungan lirik yang menyentuh hati, rentak muzik yang unik, dan suara penyanyi yang memukau menjadikan setiap karya muzik berbeza dan istimewa.
Tidak kira bahasa atau genre, ia mampu mencipta pengalaman tersendiri bagi pendengarnya, sekaligus menimbulkan minat dan keterikatan yang mendalam.
Bayangkan jika lagu dalam loghat tempatan di negara ini mampu menarik perhatian orang dari luar negara?
Lagu ‘Cicak’ sedang mendunia
Baru-baru ini, lagu ‘Cicak’ oleh Cikgu Naim pula kembali tular di media sosial terutamanya di TikTok.
Ramai pengguna mula menghasilkan video parodi berdasarkan lagu-lagu berloghat Kelantan ini. Lebih menarik lagi apabila lagu berkenaan turut bergema sehingga ke Eropah, sekaligus menarik perhatian pendengar antarabangsa.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @kaspermoose.vn di TikTok, lagu ‘Cicak’ dimainkan oleh beberapa remaja Eropah dengan menggunakan partybox speaker sambil berjalan di sebuah kawasan di Denmark.
Video berdurasi 17 saat turut memaparkan remaja-remaja tersebut menari sambil memainkan lagu ‘Cicak’ di hadapan orang ramai. Dalam masa sama, beberapa individu dilihat sedang memandang ke arah mereka sewaktu sedang menghayati lagu tersebut.
Difahamkan, lagu loghat Kelantan itu dimainkan selepas diminta oleh salah seorang pengguna TikTok dipercayai dari Malaysia. Kemudian, pemilik akaun TikTok tersebut bersama rakan-rakannya memutarkan lagu tersebut.
“Muzik Malaysia kini berada di Denmark,” katanya di ruangan kapsyen.
Sebelum ini, @kaspermoose.vn turut memutarkan lagu-lagu daripada negara Indonesia, Filipina dan Thailand yang diminta oleh pengikut-pengikutnya di Asia Tenggara.
Video berkenaan mendapat 3 juta tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok memberikan pelbagai reaksi dan meluahkan rasa bangga apabila lagu dari Kelantan ini dimainkan di luar negara.
“Takkan hilang Kelantan di dunia,” gurau seorang wargamaya.
“Sekejap lagi Denmark jadi Denmork. Kejap je lagi,” kata seorang wargamaya lagi.
Sumber: @kaspermoose.vn via TikTok