Dari 8.9%, Ekonomi Malaysia Meroket Ke 14.2% Bagi Suku Ketiga 2022
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 14.2% pada suku ketiga tahun 2022 berbanding 8.9% pada suku kedua tahun yang sama.
Berdasarkan kenyataan daripada Bank Negara Malaysia, walaupun terdapat kesan asas daripada pertumbuhan negatif pada suku ketiga tahun 2021. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar yang berterusan.
Kegiatan eksport juga dikatakan antara penyumbang kepada pertumbuhan ini berikutan kegiatan itu yang terus disokong dan mendapat permintaan yang kukuh terhadap produk E&E.

Pemulihan dalam pelancongan ke dalam negeri turut memberikan sokongan tambahan kepada kegiatan ekonomi. Selain itu, perkhidmatan seperti sektor perkhidmatan dan perkilangan turut menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara.
” Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang
sebanyak 1.9% (S2 2022: 3.5%). Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 9.3% pada tiga suku pertama tahun 2022.
BACA: Ekonomi Malaysia Teruk? Ini Fakta Tentang Keadaan Semasa Ekonomi Negara
“Inflasi keseluruhan pada tahun ini mungkin telah mencapai tahap tertingginya
iaitu 4.5% pada suku ketiga (S2 2022: 2.8%) manakala inflasi asas terus meningkat kepada 3.7% (S2 2022: 2.5%),” menurut kenyataan BNM itu lagi.
Kesan kepada peningkatan inflasi pada suku ketiga tahun 2021 disebabkan oleh kesan asas kepada diskaun bil elekrtik yang telah dilaksanakan serta peningkatan berterusan dalam inflasi teras dan barangan yang harganya tidak menentu.
Perkembangan kadar pertukaran
Nilai mata wang ringgit juga telah menerima kesan penurunan sebanyak 4.9% berbanding dolar AS pada suku ketiga tahun 2022 (sejak awal tahun hingga 9 November 2022:-11.2%). Penurunan ini sejajar dengan penurunan nilai mata wang serantau pada purata 5.5%.
Dolar AS kekal kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Federal Reserve AS dan aktiviti negara tersebut yang menghindar risiko lebih tinggi oleh pelabur disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang sederhana.

“Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik mungkin mengalami risiko volatiliti yang lebih tinggi, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung.
“Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan permodalan sistem perbankan yang teguh,” tulis kenyataan itu lagi.
Oleh itu, BNM akan terus memantau perkembangan pasaran dengan lebih rapi bagi memastikan pelarasan kekal teratur bagi menyokong pengantaraan yang berkesan bagi pertumbuhan ekonomi negara.
Keadaan pembiayaan
Pembiayaan bersih kepada sektor swasta juga dilaporkan telah meningkat sebanyak 5.4%. Perkara ini disokong oleh daripada pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi iaitu 6.1% berbanding 5.4% pada suku kedua 2022.
Selain itu, pertumbuhan bagi bon korporat pula terus mampan pada 3.5% berbanding 3.4% pada suku kedua 2022. Pertumbuhan bagi pinjaman perniagaan berada pada 5.0% kerana pertumbuhan bayaran balik pinjaman telah mengatasi pengeluaran pinjaman.
Kebanyakan peningkatan ini disebabkan oleh pinjaman yang dibuat bagi pengeluaran pinjaman yang tinggi seperti pembelian rumah dan kereta. Oleh itu, pinjaman terkumpul telah meningkat sebanyak 6.2%.
Ekonomi Malaysia akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh
Menurut kenyataan itu lagi, ekonomi negara akan terus berkembang walaupun dalam kadar yang lebih sederhana pada suku keempat tahun 2022 ini. Kadar pertumbuhan yang perlahan ini disebabkan persekitaran global yang mencabar serta ketiadaan kesan asas.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2022 ini dijangka kekal kukuh berikutan pertumbuhan kukuh yang berlaku pada suku ketiga pertama tahun ini.

Seterusnya, pada masa akan datang ekonomi Malaysia dijangka akan berkembang sebanyak 4.0%-5.0% pada tahun 2023.
“Ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh berikutan pasaran pekerja yang semakin bertambah baik. Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek infrastruktur besar serta jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi.
“Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia masih terdedah pada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu,” jelas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah.
Inflasi keseluruhan dijangka sederhana bagi baki tahun 2022
Inflasi keseluruhan dijangka sederhana pada suku keempat tahun 2022, namun masih akan kekal tinggi. Kesan asas kepada pemberian diskaun bil elektrik yang menyumbang kepada inflasi lebih tinggi pada suku ketiga akan reda pada suku keempat tahun 2022 ini.
Secara keseluruhan, inflasi dijangka berpurata pada 3.3% pada 2022 dan inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka akan terus tinggi bagi baki tahun 2022. Peningkatan itu berlaku disebabkan oleh permintaan yang terus bertambah baik dalam keadaan kos yang semakin tinggi.

Menjelang tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka akan kekal tinggi berikutan tekanan daripada permintaan dan kos, serta perubahan dalam dasar negeri.
Kesan kepada pertambahan tekanan inflasi akan terus dibendung dengan kawalan harga sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi pada tahun 2023 cenderung akan menjadi lebih tinggi berikutan konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine dan gangguan berkaitan bekalan yang berlarutan.
Sumber: Bank Negara Malaysia