Dapatkan Rawatan Segera Jika 3 Tanda Ini Berlaku Pada Tubuh Anda
Ramai antara kita sangka bahaya darah beku (blood clot) hanya berlaku pada orang yang jarang bergerak atau sudah berusia.
Hakikatnya, ia boleh menyerang sesiapa sahaja, termasuk individu muda yang aktif bekerja di pejabat atau dari rumah.
Lebih membimbangkan, gejala awalnya sering disalah anggap sebagai perkara kecil seperti urat tegang atau duduk terlalu lama.
Namun, menurut Dr. Cristabel Akinola, tanda-tanda awal ini sebenarnya adalah isyarat senyap tubuh sebelum tragedi besar berlaku.
Tiada rasa sakit, bengkak atau kemerahan, tapi…
Dalam perkongsian tersebut, Dr. Cristabel berkongsi kisah tentang seorang wanita yang bekerja dari rumah.
Pada awalnya, menurut beliau, wanita itu menyangka bekerja di rumah akan memberi lebih banyak masa untuk berehat, namun sebaliknya berlaku.
Dia duduk di hadapan komputer selama berjam-jam tanpa henti, cuba menyiapkan tugasan mengikut tarikh akhir.
Semuanya kelihatan normal, sehinggalah satu hari, dia mula berasa pelik apabila salah satu kakinya terasa lebih berat berbanding sebelah lagi.
Tiada rasa sakit, tiada bengkak, tiada kemerahan, tetapi dia segera ke hospital.
Hasil pemeriksaan mengejutkan, doktor mengesahkan terdapat darah beku besar di kakinya (deep vein thrombosis, DVT).
Keadaan itu berbahaya dan dia terpaksa ditahan di hospital untuk pemantauan rapi.
Dr. Cristabel menjelaskan, keadaan ini boleh berlaku ketika seseorang duduk terlalu lama tanpa bergerak, sama ada ketika menaiki kapal terbang, bekerja di meja pejabat atau terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
3 ‘amaran’ tubuh sebelum darah beku berlaku
Menurut Dr. Cristabel, tubuh manusia sebenarnya memberi tiga isyarat halus sebelum darah beku menjadi mengancam nyawa.
1. Kaki terasa berat sebelah (bukan kedua-duanya)
2. Nafas pendek ketika menaiki tangga
3. Sakit dada ketika menarik nafas dalam
Langkah kecemasan jika anda syak ada darah beku
Dr. Cristabel turut berkongsi langkah penting untuk menyelamatkan diri sebelum sampai ke hospital. Antaranya:
Hubungi talian kecemasan segera – darah beku boleh menjadi mengancam nyawa dalam masa singkat.
Jangan banyak bergerak – elakkan berjalan atau pergerakan tiba-tiba kerana ia boleh menyebabkan darah beku terlepas dan sampai ke paru-paru.
Letakkan kaki dalam posisi sedikit tinggi – membantu mengurangkan tekanan pada salur darah.
Jangan urut kaki – tindakan ini boleh menyebabkan darah beku terlepas dan mengalir ke organ penting.
Pantau simptom dengan teliti – catat bila rasa berat, bengkak atau sesak nafas bermula untuk makluman doktor.
Elak ambil ubat cair darah tanpa nasihat doktor – penggunaan salah boleh memburukkan keadaan.
Minum sedikit air jika mampu – kekal terhidrat tetapi jangan paksa diri bergerak terlalu banyak.
Pesanan penting
Dr. Cristabel menegaskan, rasa berat pada satu kaki adalah tanda awal paling biasa untuk DVT. Dalam tahap ini, masih ada masa untuk rawatan dan pencegahan sebelum keadaan menjadi kritikal.
“Jika rasa berat itu tidak hilang walaupun selepas anda bergerak atau meregang, segera ke hospital untuk pemeriksaan.
“Apabila darah beku itu terlepas dan bergerak ke paru-paru, ia boleh menyebabkan emboli pulmonari, keadaan di mana aliran darah ke paru-paru tersekat sepenuhnya. Situasi ini boleh membawa maut dalam sekelip mata,” saran Dr. Cristabel.
BACA: Hari Bahagia Bertukar Duka, Wanita Terkejut Disahkan Hamil Meski Masih Dara
Sumber: Dr. Cristabel Akinola