
Dapat Ucapan Hari Lahir Dalam “Flight”, Reaksi Atuk Buat Ramai Tersenyum
Setiap kali tibanya hari ulang tahun kelahiran, kita semua pasti menanti-nantikan ucapan serta kejutan istimewa dari orang tersayang. Lebih bermakna apabila dapat menyambut hari tersebut bersama keluarga serta sahabat handai.
Kadang kala ada juga momen di mana kita mendapat kejutan tidak terjangka seperti ketika berada di dalam kapal terbang.
Itu yang dialami oleh seorang warga emas yang mendapat ucapan ulang tahun kelahiran dari kru dan diraikan oleh semua penumpang.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @Safuwang90 di TikTok, datuknya mendapat kejutan istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-100.
“Terima kasih kepada kru kabin Air Asia yang luar biasa kerana menjadikan hari lahir atuk saya lebih istimewa,” katanya di kapsyen video.
Senyuman terukir di wajah datuknya selepas kru dan penumpang yang lain menyanyikan lagu selamat hari jadi kepadanya.
“Pengumuman, kami memohon kerjasama anda, kita ada tetamu istimewa iaitu Mat Zin Abdullah. Hari ini merupakan hari ulang tahunnya.
“Dia kini berusia 100 tahun, jadi mari sama-sama nyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuknya dan buatkan hari ini lebih bermakna untuknya,” kata seorang kru kabin.
Safuwang berkata, dia bersama keluarganya dalam perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur dan selepas itu ke Alor Setar.
“Kami nak ke Kedah rumah mak cik saya, anak dia (datuk) yang ke-13 dari 14 orang. Saya dah janji dengan dia tiga bulan lepas nak bawa dia ke Kedah.
“Kebetulan tengok tarikh 10 Oktober saya tidak ada apa-apa kerja dan ia juga tarikh hari lahirnya,” katanya kepada SK.
Menjengah ke ruangan, ramai yang turut teruja melihat kegembiraan warga emas itu dan mendoakan agar dia diberkati Allah SWT.
“Selamat hari lahir atuk, semoga dikurniakan kesihatan yang lebih baik dan dipermudahkan segala urusan”
“Ya Allah panjangkanlah lagi umur pak zin, kurniakan ah kesihatan tubuh badan yang baik untuk pak zin. Tak kenal, tapi bila tengok rasa sayang”
“Semoga atuk panjang umur, dikurniakan kesihatan yang berkekalan. semoga setiap langkah dan perjalanan atok selamat pergi dan balik”
Sumber: Safuwang90