Ibu kepada mendiang pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida pada Jumaat berkata dia memaafkan dua rakan lelaki yang ada bersama anaknya di atas bot selepas menawarkan 30 juta Bhat bersamaan sekitar RM3.8 juta sebagai pampasan.
Ketika ditemu bual dalam satu rancangan TV, Panida Siriyuthayothin berkata dua lelaki terbabit memberikan pampasan dengan nilai yang tinggi namun pampasan yang diterimanya tidak menjejaskan siasatan pihak berkuasa terhadap kes kematian anak perempuannya itu.
Jelasnya, dia memaafkan mereka kerana lelaki berkenaan berterusan cuba untuk menghubunginya dan suspek tahu bahawa dia sedang marah.
Dia bagaimanapun tidak memaafkan rakan Tangmo yang lain termasuklah pengurus peribadi anaknya kerana mendakwa wanita berkenaan hanya menghubunginya selepas tiga hari kematian anak kesayangannya. Bahkan dia turut menuduh pengurus terbabit menyebabkan kematian anak perempuannya itu.
Bagaimanapun, ramai yang terkejut dengan tindakan ibu Tangmo ini sehinggakan ada pihak mendakwa ibu mangsa terpaksa mengambil wang berkenaan atas sebab masalah kewangan yang sedang dihadapinya.
Terdahulu, Tangmoberusia 37, terjatuh ke dalam Sungai Chao Phraya berhampiran jeti Pibul 1 di daerah Muang, Nonthaburi sekitar jam 10.40 malam pada 24 Februari. Mayatnya ditemui kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu.
Sumber: Bangkok Post