Zakat Mains susah lulus
Gambar: MAINS

Dakwaan Susah Mohon Zakat MAINS, Penerima Jawab “Permohonan Lulus Tak Sampai 2 Minggu”

Iqbal Yasir

Dakwaan Susah Mohon Zakat MAINS, Penerima Jawab “Permohonan Lulus Tak Sampai 2 Minggu”

Sebagai seorang Muslim, kita tidak terlepas daripada kewajipan menunaikan zakat, iaitu Rukun Islam ke-4. Atas sebab itu, wujudlah institusi yang diamanahkan untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat agar manfaatnya sampai kepada mereka yang layak.

Namun begitu, tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang ringan. Ia melibatkan pengurusan dana jutaan ringgit, menuntut tahap integriti, ketelusan, kecekapan dan keimanan yang tinggi.

Lebih mencabar apabila timbul tomahan dan persoalan segelintir pihak mengenai ke mana perginya duit zakat yang disalurkan. Pun begitu, ada dalam kalangan penerima zakat sendiri yang tampil berkongsi pengalaman mereka bagi menjawab tuduhan tersebut.

“Mohon zakat MAINS, lulus kurang dua minggu”

Gambar: MAINS

Baru-baru ini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berdepan tuduhan proses permohonan zakat di institusi itu sukar dilakukan. Namun dakwaan itu dinafikan oleh para penerima yang pernah berurusan di agensi berkenaan.

Ada penerima yang menceritakan bagaimana permohonan zakat mereka diluluskan dalam tempoh kurang dua minggu, dan bantuan itu telah menampung kos rawatan dialisis selama empat tahun.

“Saya dah dialisis empat tahun zakat yang tanggung. Saya mohon tak sampai dua minggu dah lulus. RM3,000 sebulan, saya tak perlu bayar pada pusat dialisis,” tulis seorang penerima.

“Pengalaman saya dengan zakat Negeri Sembilan sangat baik. Dokumen mesti lengkap. Sebelum dokumen lengkap, tak perlu bawa asnaf. Jika bawa tanpa dokumen lengkap, macam mana nak sahkan,” tulis individu lain.

Tak kurang juga ada yang memohon zakat untuk ahli keluarga yang sakit mengakui pengalamannya dipermudahkan selain menekankan kepentingan melengkapkan dokumen.

“Dialisis anak saya dari zakat. Seluruhnya ditanggung. Duduk Negeri Sembilan berurusan dengan JKM, zakat dan MAINS semenjak 2012, tak pernah ada masalah,” kongsi Suriya Sharif.

“Pembedahan anak saya dapat GL dari MAINS seluruhnya. 6 kali pembedahan.. Jumlah GL anak saya dari MAINS hampir RM25,000,” tambahnya lagi menegaskan jiran boleh sampaikan kepada ketua kampung sekiranya ada individu yang layak mendapatkan bantuan.

Ada juga penerima yang memuji sikap mesra pegawai zakat Negeri Sembilan (MAINS) dalam menguruskan permohonan, lengkap dengan dokumen yang jelas serta proses yang telus.

MAINS agih RM96.7 juta dalam enam bulan

Dari Januari hingga Jun 2025 sahaja, MAINS telah mengagihkan RM96,703,247.37 kepada golongan asnaf yang layak.

Gambar: MAINS

Namun, masih ada segelintir dakwaan yang berlegar di media sosial kerana kurangnya pemahaman tentang prosedur sebenar.

Sebagai contoh, pernah timbul tuduhan seorang asnaf tidak menerima bantuan, sedangkan semakan mendapati individu tersebut sebenarnya menerima bantuan dialisis sebanyak RM2,800 sebulan.

Semak sebelum percaya

Bagi mengelakkan salah faham, MAINS sentiasa mengalu-alukan aduan serta pertanyaan daripada masyarakat, khususnya berkaitan bantuan.

Kerjasama orang ramai juga amat dihargai dalam mengenal pasti individu yang benar-benar layak menerima zakat.

  • Aplikasi MAINS PAY

  • E-mel aduan rasmi

  • Laman web MAINS

Zakat Mains susah lulus
Gambar: MAINS

Orang ramai juga diingatkan untuk memastikan maklumat permohonan lengkap agar bantuan dapat disalurkan dengan tepat, berlandaskan syariat. Borang permohonan juga boleh dimuat turun terus dari laman web MAINS.

Dengan hanya berbaki tiga bulan sebelum tahun 2025 melabuhkan tirainya, marilah kita bersama-sama menunaikan kewajipan zakat. Ia bukan sekadar melengkapkan ibadah seorang Muslim, malah menjadi pelaburan berharga untuk akhirat.

Zakat juga memberi manfaat besar kepada masyarakat dalam membantu keluarga, jiran tetangga, dan mereka yang berada dalam kesempitan.

Nilai saling membantu sesama Muslim inilah yang amat dituntut dalam Islam.

Pembayaran zakat kini boleh dilakukan dengan mudah, sama ada secara atas talian atau di pejabat MAINS berhampiran.

Untuk maklumat lanjut mengenai jenis bantuan zakat serta statistik kutipan dan agihan tahunan, orang ramai boleh merujuk terus di laman web rasmi MAINS.