Semenjak wabak Covid-19 melanda Malaysia awal tahun lalu, pelbagai mitos yang tersebar di media sosial tentang rawatan alternatif melawan virus ini. Antaranya termasuk mitos air rebusan ketum sebagai ubat alternatif untuk pesakit Covid-19.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kes rampasan daun ketum dan penangkapan pihak terlibat meningkat saban tahun. Malah peningkatan ini terjadi sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Dakwaan mengatakan ketum kini laris kerana mampu merawat Covid-19 adalah tidak benar, katanya kepada Sinar Harian. Tambah Kamarul, peningkatan kes rampasan ini adalah atas komitmen polis membanteras aktiviti tersebut.
Memetik laporan Sinar Harian, Kamarul berkata, “Ada saja sindiket yang cuba seludup ketum ke negara jiran kerana harga pasaran di sana lebih tinggi, selain permintaan yang berterusan.
“Ini termasuk penyeludupan dalam negara melalui jalan tikus, mahupun jalan darat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Kamarul, penjualan daun ketum merupakan satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952. Ia merangkumi kesalahan mengimport, memiliki, mengilang, menyimpan, mengangkut, dan menggunakan air ketum sahaja. Manakala bagi mereka yang menanam pokok ketum tidak disabitkan kesalahan.
Kamarul berkata, bermula Januari hingga Julai 2021, Polis Kedah merekodkan 276 kes melibatkan ketum, dengan 348 tangkapan. Berbanding tempoh sama tahun lalu, 222 kes berkaitan direkodkan, dengan 317 tangkapan.
“Rampasan air ketum turut meningkat, iaitu 9,426 liter tahun ini, berbanding 1,568 liter tahun lalu,” jelasnya kepada Sinar Harian.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tiada bukti saintifik atau kajian makmal membuktikan air ketum mampu merawat Covid-19. Malah pokok ketum mengandungi bahan yang memberi kesan stimulan, sedatif, dan euphoria yang boleh menyebabkan ketagihan.
Sumber: Sinar Harian, KKM