Seorang wanita telah didakwa mendalangi pembunuhan suaminya sendiri di Jalan Hanurata, Kabupaten Muara Tami, Kota Jayapura, Papua, Indonesia, lapor portal TribunKaltim.
Mangsa yang merupakan seorang peniaga emas telah ditemui maut dalam satu kejadian yang didakwa sebagai rompakan pada mulanya.
Mangsa yang berusia 44 tahun dilaporkan maut ketika dalam perjalanan pulang bersama dengan isterinya yang berusia 25 tahun itu.
Mangsa dilaporkan telah dirompak dan dibunuh oleh empat orang suspek pada mulanya.
Namun selepas siasatan dibuat, motif kejadian tersebut akhirnya berjaya dibongkar.
Pembunuhan tersebut sebenarnya telah didalangi oleh isterinya dan teman lelaki isterinya itu.
Ternyata kelicikan isterinya itu yang menangis semasa ditemui pengguna jalan raya di sebuah jalan kerana mangsa dikatakan telah dirompak sebenarnya hanyalah sandiwara sahaja.
Terdahulu, isteri kepada mangsa itu mengakui bahawa suaminya telah dirompak oleh sekumpulan lelaki.
Namun setelah disiasat, ternyata kematian peniaga emas itu bukanlah semata-mata dibunuh oleh perompak, tetapi sebenarnya ada hubung kait dengan isterinya.
Ekoran daripada itu, wanita yang berusia 25 tahun berkenaan terus ditahan oleh pihak polis.
Ketika ditahan, suasana rumah masih lagi dilaporkan dalam keadaan berkabung serta ada majlis tahlil.
Mengetahui berkenaan perkara itu, keluarga mangsa yang pada ketika itu berada di rumah tersebut terus naik berang.
“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Selamat manikmati hasil sandiwara anda selama ini,” tulis catatan WhatsApp Story keluarga mangsa.
Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, dilaporkan bahawa penangkapan isteri mangsa itu dibuat kerana pada awal siasatan terdapat banyak percanggahan dalam keterangan suspek.
Maklumat tersebut dilaporkan telah didedahkan oleh akaun Twitter @jayapuraupdate. Maklumat yang dikongsikan menyatakan bahawa dalang di sebalik pembunuhan suami itu adalah isterinya sendiri.
“Rompakan itu telah disertai dengan pembunuhan di Holtekamp arah kilo 9, ternyata dalangnya adalah isterinya sendiri. Dari awal lagi sudah mencurigakan,” ciap akaun tersebut.
Akhirnya pihak berkuasa berjaya membongkar siapa suspek sebenarnya, iaitu isterinya sendiri, teman lelakinya serta 4 orang pembunuh yang diupah.
Si isteri dan teman lelakinya itu dilaporkan telah mengatur rancangan supaya pembunuhan tersebut tampak seperti satu rompakan.
Menurut portal TribunKaltim, motif pembunuhan itu dilakukan adalah untuk menguasai harta sang suami.
Sumber: TribunKaltim