
Gempa Bumi Didakwa Bakal Landa India-Pakistan-Afghanistan
Penyelidik Belanda, Frank Hoogerbeets menjadi perhatian umum sekali lagi selepas meramal gempa bumi kuat turut bakal melanda India-Pakistan-Afghanistan tidak lama lagi.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik baru-baru ini, Hoogerbeets berkata, berdasarkan penyelidikannya, aktiviti seismik itu akan berpusat di Afghanistan.
Sebelum ini, Hoogerbeets mula menjadi tumpuan selepas membuat ramalan bahawa Turkeye bakal digegar gempa bumi, kira-kira tiga hari sebelum kejadian tersebut berlaku.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Pakistan menafikan dakwaan atau ramalan yang dibuat oleh penyelidik dari Belanda tersebut.
Pengarahnya berkata, tiada persamaan nyata antara garis sesar di Turkeye dengan garis sesar di Pakistan. Malah, dakwaan-dakwaan yang sedang beredar di media sosial ketika ini juga tidak disandarkan kepada bukti saintifik.
Walau bagaimanapun, pihaknya sentiasa memantai situasi gempa di negara itu termasuk bencana yang melanda Turkeye-Syria menerusi sistem pemantauan terbaharunya.
Menurut konteks sains, secara umumnya tiada siapa pun tahu dan dapat meramal bila kejadian gempa bumi, lebih-lebih lagi gempa bumi kuat berlaku.
Justeru, ramalan-ramalan yang dibuat Hoogbert dan organisasi seperti SGEOS dikritik hebat oleh saintis kerana pendekatan mereka yang tidak saintifik dan lemah.
Menurut saintis, dengan teknologi canggih yang ada, saintis tetap berdepan kesukaran untuk membuat jangkaan bila gempa boleh berlaku.
“USGS dan mana-mana saintis, tiada sesiapa pun dapat meramal bila gempa bumi besar berlaku. Kami tidak tahu caranya dan tiada siapa pun patut berharap bahawa kami tahu bila gempa boleh berlaku di masa depan,” tulis United States Geological Survey (USGS) menerusi lamannya.
Saintis USGS turut berkata, pihaknya hanya mampu mengira kebarangkalian sesuatu insiden gempa bumi yang signifikan boleh berlaku di sesuatu kawasan yang spesifik dalam tempoh beberapa tahun sahaja.
Selain itu, USGS turut menggariskan tiga elemen yang perlu dipenuhi dalam mengemukakan ramalan berkenaan kejadian gempa bumi. Tiga elemen tersebut adalah masa (tarikh dan jam), kekuatan magnitud serta lokasi secara spesifik.
Banyak pihak boleh mendakwa mereka boleh meramal bila kejadian gempa bumi boleh berlaku, namun dakwaan tersebut adalah palsu berdasarkan tiga alasan.
Pertama, ramalan mereka tidak mempunya bukti saintifik sedangkan kejadian gempa bumi adalah sebahagian daripada proses saintifik. Misalnya, kejadian gempa bumi langsung tiada kena mengena dengan fenomena awan atau rasa sakit-sakit pada badan.
Kedua, ramalan yang dibuat biasanya tidak memenuhi tiga elemen yang dinyatakan sebelum ini, manakala yang terakhir adalah ramalan yang dibuat selalunya adalah umum. Misalnya, ”Gempa M4 akan berlaku di salah satu tempat di Amerika Syarikat dalam tempoh 30 hari”. Ia adalah terlalu umum memandangkan beberapa kawasan-kawasan di Amerika Syarikat diketahui kerap berlaku aktiviti gempa bumi.
BACA: Lelaki Ramal Gempa Bumi Kuat Bakal Landa Turkiye 3 Hari Sebelum Tragedi Benar-benar Berlaku