Susulan hujan lebat berterusan yang berlaku di beberapa negeri seluruh Malaysia sejak kebelakangan ini, beberapa daerah di negeri terlibat dilaporkan telah dinaiki air.
Hari ini, tular video rakaman warga net yang menunjukkan keadaan terkini sebuah jambatan gantung di Negeri Sembilan, tepatnya di Kampung Pasir Besar, Gemas yang runtuh akibat kenaikan paras air di kawasan berkenaan.
Dalam video tersebut, dapat dilihat jambatan gantung berkenaan ditenggelami air sungai yang keruh. Jambatan gantung itu dikatakan menghubungkan Kampung Pasir Besar dan Kampung Kurnia.
“Itu dia keadaan jambatan gantung, tak tergantung lagi dah. Dah menyelam dalam air. Air makin lama makin naik, mengalahkan teh tarik,” kata pengunggah dalam video tersebut.
Semalam, Sinar Harian melaporkan tiga laluan di Gemas ditutup dari kedua-dua arah akibat banjir. Laluan-laluan terlibat termasuk Jalan FT001 Gemas-Tampin di jambatan Sungai Gemencheh Seksyen 226, Jalan FT001 Gemas – Tampin Seksyen 219 dekat dengan simpang Kem Syed Sirajudin dan Jalan Negeri Felda Jelai 2 – Pasir Besar N53 Seksyen 5.5.
Sumber: Sinar Harian